Sejak zaman sekolah lagi, saya menyokong Pas. Pada zaman itu hanya ada UMNO dan PAS ( Semangat 46 memang tidak diambil peduli). Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah sokong UMNO.
Waktu itu pemahaman saya, UMNO membawa perjuangan bangsa Melayu manakala Pas membawa perjuangan Islamisme. Ini yang saya faham dari membaca Harakah waktu itu.
Sejak zaman itu, semangat Islam yang membara membuatkan saya bercita cita untuk membantu menubuhkan sebuah khalifah Islam. Konsep satu ummah. Hari ini saya masih mempunyai idealisme yang sama.
Saya masih menanti Imam Mahdi. Saya masih mengharap untuk lihat ummat Islam di bawah satu lembayung. Mungkin di bukan zaman saya.
Semasa zaman matrikulasi, saya enggan memasuki PKPIM kerana PKPIM adalah persatuan di bawah ABIM dan ABIM di bawah Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim pula waktu itu adalah pemimpin harapan UMNO.
Kemudian saya ke kampus induk UIA dan Anwar Ibrahim dipecat. Anwar Ibrahim dan Pas bersatu.
Maka hati saya terbuka kepada PKPIM kerana ramainya kawan kawan saya di situ dan kami sefikrah.
Pada zaman kawan kawan saya menjadi pimpinan di UIA, kami berusaha dan berjaya untuk menyatukan PKPIM dan WUFI ( Pas) dan kami menewaskan kawan kawan SAHABAT (UMNO) yang bertanding pilihanraya kampus dengan kemenangan terbesar dalam sejarah UIA.
Kami bangga kerana kami berjaya menyatukan ummah dengan idealisme Islam kami. Kami yakin dengan masa depan semangat Islamisme kami.
Hampir 20 tahun kemudian, UMNO dikalahkan. Saya lihat kawan kawan saya yang ada semangat Islamisme naik di UMNO. Berputik harapan, bahawa UMNO juga akan memperjuangkan Islamisme.
Kemudian PAS bergabung dengan UMNO. Saya gembira dan saya membantah sesiapa yang mencela gabungan tersebut.
Saya mula yakin Islamisme yang dibawa oleh Pas akan menundukan nasionalisme yang dibawa oleh UMNO.
Saya naif.
Rupanya suara nasionalisme UMNO lebih gagah daripada suara Islamisme Pas. Malah suara Islamisme kini sudah di Melayukan. Hanya hak orang Islam Malaysia mula diperjuangkan.
Suara Malaysia yang gagah membela Muslim Bosnia, Muslim Afghanistan, Muslim Kashmir, Muslim Uighur mula menjadi lemah.
Kini suara di Malaysia mula bergema dengan kebencian kepada saudara saudara seislam kita. Kita mula merasakan bahawa kita lebih baik dari mereka. Kita ambil kejahatan satu dua mereka dan kita besar besarkan untuk menjustifikasikan kesombongan kita. Sifat halim kita sudah mula pudar.
Yang lebih menyayatkan hati, suara suara rakan rakan perjuangan dalam Pas kita juga mula ikut bergema sama dengan suara nasionalisme yang membingitkan.
Malah yang tidak setuju dengan kebingitan suara nasionalisme ini dalam Pas dan UMNO juga hanya senyap, enggan menentang arus nasionalisme yang sedang membara.
Akhirnya yang masih bersuara hanyalah suara suara NGO Islam yang istiqamah dari dulu seperti Abim dan Mapim.
Suara itu pun cuba didiamkan oleh pejuang pejuang nasionalisme yang menuduh gerakan gerakan Islam ini “balaci liberalisme” atau “ambil komisyen membawa pendatang asing masuk Malaysia”.
Ada juga yang menuduh mereka bodoh dan tidak berfikir panjang.
Nampaknya semangat Islamisme sudah jadi jahat sekarang….
Kepada Allah kita serahkan semua….