DI MANA KITA BELAJAR ADAB

Jika ditanya kepada setiap Muslim, dimana kita harus belajar adab, banyak yang akan rujuk kepada ilmu tasawuf, atau belajar dengan ulama. Namun kebanyakan kita belajar dari ibu bapa kita.

Sebenarnya guru terbaik untuk belajar adab ialah Al Quran. Banyak antara kita yang rujuk Al Quran untuk dapatkan hukum fiqh, tetapi jarang kita rujuk untuk belajar adab.

Padahal kebanyakan ayat dalam Al Quran sebenarnya mengajar kita adab. Sebab itu apabila Aisyah r.a. ditanya bagaimanakah akhlak Rasulullah, dijawab akhlak Rasulullah s.a.w ialah Al Quran.

Kesemua kisah kisah dalam Al Quran ialah “case study” untuk mengajar manusia bagaimana untuk berakhlak dalam sesuatu situasi. Bagaimana berakhlak dengan Allah, bagaimana berakhlak dengan Rasul, bagaimana berakhlak dengan manusia, bagaimana berakhlak dengan binatang dan sebagainya.

Bila anak hilang, baca kisah Yaaqub. Bila anak derhaka, baca kisah Nuh. Bila anak tiada, baca kisah Zakaria. Bila orang ejek kita pasal anak kita , baca surah al-kawthar. Bila Allah uji kita dengan fitnah anak, baca kisah Nabi Ibrahim.

Bila saudara mahu membunuh kita, baca kisah Habil dan Qabil. Bila saudara mengkhianati kita, baca kisah Yusuf. Bila saudara kita tidak berterima kasih kepada kita, baca kisah Musa.

Bila jumpa pemimpin zalim baca kisah Firaun. Bila jumpa pemimpin adil, baca kisah Sulaiman. Bila pemimpin adil tersilap, baca kisah Daud.

Begitulah banyak kisah dalam Al Quran yang Allah ajar untuk bentuk sifat dan akhlak kita.

Maka marilah kita sentiasa bertadabur dengan Al Quran untuk dapatkan akhlak muslim sejati.

BAIK ANTARA JAHAT

Apabila yang baik berada di kalangan yang jahat, yang baik itulah yang sepatutnya mengubah yang jahat itu. Yang baik walaupun sedikit sepatutnya mempunyai kekuatan yang luar biasa dibandingkan yang jahat walaupun ramai.

Namun apabila yang nampak baik mula berubah ke arah kejahatan apabila bersama dengan yang jahat, maka yang nampak baik itu sebenarnya belum sempurna kebaikannya.

Sebab Allah telah menjamin yang sesat tidak akan memudaratkan yang telah mendapat hidayah.

Kemudaratan apa yang paling dasyhat selain menerbalikkan yang nampak baik kepada jahat….

Holy Quran 5:105

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ ۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا ٱهْتَدَيْتُمْ ۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.

JANGAN TERBURU BURU??!!

Wee Ka Siong kata kita jangan terburu buru untuk menaikkan hukuman kepada pemandu mabuk.

Saya setuju, dalam semua hal kita jangan terburu buru.

Tetapi semasa pemerintahan PH kita terburu buru dalam semua hal. Kita mahu setiap pemandu mabuk melanggar mati dihukum bunuh.

Mengapa kita terburu buru waktu itu?

Sebab kita ditakutkan dengan sentimen agama sehingga kita mengenepikan lojik kita. Buktinya isu yang sama sekarang apabila dikendalikan dengan cara yang sama atau lebih teruk, kita terimanya dengan penuh ketenangan.

Sebab tiada yang bermain dengan sentimen agama dan bangsa sekarang.

Memancing sokongan pengundi ini ahli politik ada pilihan samada untuk menarik undi dengan main emosi atau menyuruh mereka berfikir.

Bila kita menarik undi dengan menggunakan akal, kita akan dapat pengundi yang bijak dan berhikmah.

Tetapi jika kita menarik undi dengan menggunakan sentimen emosi, maka kita akan dapat pengundi yang marah marah dan benci.

Bagi ahli politik yang licik, mereka lebih suka pengundi pengundi yang marah dan benci kerana akal mereka akan tertutup dengan emosi dan akhirnya melahirkan pengikut yang taksub dengan pemimpin mereka.

Manakala ahli politik amat tidak suka dengan pengundi bijak sebab kata kata ahli politik tidak diterima dengan mudah. Ini menyukarkan kerja ahli politik. Lebih lebih lagi jika pengundi lebih bijak daripada ahli politik.

Sebab itu di Malaysia ini amat sukar hendak berjumpa dengan ahli politik jujur yang memberikan maklumat yang lengkap kepada para pengundi mereka.

Ahli politik yang kurang cerdik akan buat berita palsu. Yang bijak sedikit akan manipulasikan fakta.

Maka janganlah kita terburu buru mempercayai mereka…

SIFAT HALIM: AKHLAK AGUNG YANG DIABAIKAN

Dalam Islam, ada sesetengah akhlak yang nampak tidak begitu cantik kepada dunia tetapi sangat indah dalam Islam.

Contohnya sifat malu dan sifat cemburu. Namun hari ini saya ingin bincangkan sifat halim.

Al- Halim ini adalah satu nama Allah yang Mulia.

Imam Al Ghazali memaknakan Al Halim sebagai Tuhan yang tidak bertindak dengan kemarahan kepada keingkaran dan tidak terburu buru dalam menghukum walaupun berkemampuan penuh untuk menghukum serta merta.

Ibnu Al Qayyim pula mendefinisikan Al Halim sebagai Tuhan yang memberikan tempoh bertenang kepada pendosa dan tidak menghukum serta merta walaupun berkemampuan berbuat demikian.

Keindahan akhlak Allah ini ialah untuk memberikan peluang kepada si pendosa seperti kita semua untuk kembali bertaubat kepada Allah swt. Maka Dia bersifat halim kepada kita kerana dia juga Maha Pengampun.

Malah dengan menonjolkan halim, maka kebijaksanaan dan kelemah lembutan Allah yang Maha Agung makin menonjol.

Dalam kisah-kisah Al Quran banyak terdapat kisah bagaimana para Rasul dan para wali Allah menonjolkan sifat halim mereka.

Allah swt menggelar dan memuji Nabi Ibrahim a.s sebagai seorang yang halim ketika dia berdebat dengan malaikat yang datang menghukum kaum Nabi Luth supaya mereka diberikan tempoh lagi untuk bertaubat.

Begitu juga tempoh 950 tahun dakwah Nabi Nuh a.s sebelum ummatnya dihancurkan menunjukkan sifat Halim Allah yang Mulia dan sifat halim Nabi Nuh a.s.

Malah tanpa sifat halim, perjuangan Rasulullah s.aw tidak akan sampai 23 tahun. Kerana sifat Halim Allah swt dan Rasulullah s.a.w, barulah Khalid Al Walid memeluk Islam pada tahun ke-20 dakwah.

Hari ini, sifat halim ini dipandang rendah oleh para Muslimin.

Hari ini berapa orang Muslim boleh mendabik dada pernah berdakwah?

Kalau pun ada berdakwah, berapa ramai antara kita boleh mendakwa kita mengabdikan diri kita kepada dakwah sebagaimana yang dilakukan oleh para Rasul dan para sahabat?

Kalau ada sekalipun kita pendakwah sepenuh masa, adakah kita mampu berdakwah sebagaimana Rasulullah s.a.w berdakwah?

Kalau kita berdakwah sebagaimana Rasulullah s.a.w sekalipun, adakah kita pernah berdakwah sebagaimana Rasulullah s.a.w selama 23 tahun sekurang-kurangnya?

Kalau Rasulullah s.a.w bersabar selama 23 tahun dengan Kaum Quraisy, bagaimana kita pula mampu menutup pintu dakwah kepada ummat ini, Muslim mahupun bukan Muslim dengan dengan begitu mudah?

Bagaimana kita boleh mendakwa dengan sombong bahawa mereka dilaknat oleh Allah swt sedangkan Allah s.w.t itu Al Halim?

Siapalah kita untuk menghukum bagi pihak Allah Rabul Jalil?