MASING MASING HEBAT NAMUN TIDAK SEMPURNA

Ulama yang takhassus (pengkhususan) dalam hadith, lemahlah dia dalam dalam ijtihad dan fiqih.

Ulama-ulama yang dapat meng-istimbath-kan hukum dari Al Quran dan Hadith, kerap kali tidak kuat menghafal.

Yang kuat menghafal, kerap kali tidak kuat memikir.

Al Ghazali indah huraian dan kupasannya, tetapi beliau sangat lemah dalam menyaring hadith hadith.

Hamka dalam Tafsir Al Azhar. (Pendahuluan Juzuk 1)

MEMBELA YANG SALAH

Kecoh hari ini di kalangan kawan kawan peguam Muslim hari ini, ada peguam Muslim dicela kerana membantu pemandu mabuk yang melanggar mati seorang Muslim.

Kadang kadang pemikiran orang kita terlalu dangkal. Mereka tidak ada kemampuan untuk berfikir lebih sejengkal dari mata kepala mereka.

Sebab itu Allah menurunkan Al Quran. Untuk ajar manusia berfikir dengan cara betul.

Salah satu kaum terlaknat di dunia ini ialah Kaum Nabi Luth. Sebelum malaikat diutuskan untuk memusnahkan ummat Nabi Luth, malaikat yang sama telah diutuskan kepada Nabi Ibrahim.

Satu untuk mengkhabarkan bahawa Nabi Ibrahim dan Siti Sarah akan dikurniakan dengan Nabi Ishak a.s.

Keduanya untuk mengkhabarkan bakal kemusnahan Kaum Luth.

Nabi Ibrahim langsung tidak gembira mendengar kaum penderhaka itu bakal dimusnahkan.

Baginda a.s berdebat dengan para malaikat supaya mereka diberi peluang lagi. Bukan untuk menjustifikasi perbuatan derhaka kaum Luth.

Sebaliknya hanya untuk peluang terus diberikan kepada mereka.

Allah swt tidak murka dengan tindakan Nabi Ibrahim a.s itu, sebaliknya Allah memuji Nabi Ibrahim sebagai seorang yang halim (bertimbang rasa) dan merendahkan diri dan suka bertaubat.

Malah bukan Rasulullah s.a.w juga akan bertindak membela orang orang jahat seperti kita dengan syafaatnya di hari kiamat kelak.

Yang jadi haramnya, apabila kita menipu, mengkhianat, merasuah untuk membantu anak guam kita.

Kalau setakat membantu dia, menjadi wakil, menjadi tukang bicara, menjadi pembela dari dizalimi, maka peguam itu adalah kerja yang sangat mulia.

Holy Quran 11:74

فَلَمَّا ذَهَبَ عَنْ إِبْرَٰهِيمَ ٱلرَّوْعُ وَجَآءَتْهُ ٱلْبُشْرَىٰ يُجَٰدِلُنَا فِى قَوْمِ لُوطٍ

Maka apabila hilang perasaan takut dari hati Nabi Ibrahim, dan sampai kepadanya berita yang mengembirakan itu, (mulailah) ia membantah (utusan-utusan) kami tentang (azab yang akan menimpa) kaum Nabi Lut.

Holy Quran 11:75

إِنَّ إِبْرَٰهِيمَ لَحَلِيمٌ أَوَّٰهٌ مُّنِيبٌ

Sesungguhnya Nabi Ibrahim, penyabar, lembut hati (bertimbang rasa) lagi suka kembali kepada Allah dengan mengerjakan amal bakti.

GAJAH DIBOM

Seekor gajah masuk ke dalam sebuah kampung di India diberikan makan sebiji nanas. Dia datang dengan aman.

Gajah yang sedang mengandung ini sudah tentu gembira kerana disajikan oleh orang kampung dengan buah yang dia pula ketika itu sedang kelaparan.

Tidak mungkin gajah itu menyangka bahawa dalam nenas itu dimasukkan dengan bom/mercun yang meletup ketika dia sedang mengunyah nenas itu.

Hancur rahang dan mulut dia dan berlarilah dia dengan penuh kesakitan.

Akhirnya mereka menemui gajah itu sedang berdiri dalam sungai sedang merendamkan mulutnya untuk mengelakan lukanya dihinggapi lalat dan serangga.

Akhirnya gajah itu mati bersama dengan anak di kandungannya.

Itulah manusia.

Dalam surah Al Fatihah, selepas Allah swt mengelar dirinya sebagai Maha Pemurah dan Maha Pengasih ( Ar Rahman dan Ar Rahim), Allah swt menggelar dirinya pula sebagai Pemilik Hari Qiamat yang bersifat Penghukum yang secara mata kasar nampak bertentangan dengan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim.

Namun kekejaman sebeginilah yang memahamkan kita bahawa kerana sifat Ar Rahman dan Ar Rahim Allah yang menyebabkan Allah swt murka kepada mereka yang menzalimi mahkhlukNya yang menyebabkan Allah menjadi Pemilik Hari Qiamat.

Semoga Allah swt sentiasa sayang kepada kita semua.

LIWAT DAN KHIANAT SAMA TARAF

Apabila disebut ummat apa yang diazab, kita sering teringat ummat Nabi Luth. Bila difikirkan jenayah mereka yang menjadi sebab diturunkan azab, kita tahu ianya perbuatan sonsang mereka.

Namun ada satu lagi ummat yang diturunkan azab kerana pengkhianatan mereka. Pengkhianatan dalam perniagaan.Mereka ialah ummat Nabi Syuaib.

Pengkhianatan dalam menjual barang yang tidak setimpal harga. Dalam dunia hari ini, pengkhianatan ini sudah biasa.

Lebih lebih lagi dalam perniagaan yang melibatkan kerajaan. Oleh kerana kerajaan adalah wakil kepada rakyat, mereka yang akan membeli bagi pihak rakyat.

Tetapi apabila kerajaan dan peniaga berkonspirasi untuk menipu rakyat dengan menaikan harga barangan atau perkhidmatan atau mengurangkan kualiti barangan dan perkhidmatan yang dijual kepada kerajaan supaya pemimpin pemimpin pun mendapat komisyen daripada perniagan itu, maka itu adalah pengkhianatan.

Akhirnya rakyat tidak mendapat barangan atau perkhidmatan setimpal dengan harga yang dibayar dengan cukai dan hak mereka.

Di sisi Allah, peliwat ummat Luth dan pengkhianat ummat Syuaib, kedua duanya layak diazab di dunia ini.

Jangan jadikan Malaysia satu lagi Madyan!!!!

Holy Quran 11:85

وَيَٰقَوْمِ أَوْفُوا۟ ٱلْمِكْيَالَ وَٱلْمِيزَانَ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَلَا تَبْخَسُوا۟ ٱلنَّاسَ أَشْيَآءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.

Holy Quran 11:95

كَأَن لَّمْ يَغْنَوْا۟ فِيهَآ ۗ أَلَا بُعْدًا لِّمَدْيَنَ كَمَا بَعِدَتْ ثَمُودُ

(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! kebinasaanlah akhirnya bagi penduduk Madyan, sebagaimana binasanya kaum Thamud.

BERBAHAS TANDA DERHAKA?

Islam membenarkan bahas. Namun mesti beradap. Ulama mengukuhkan hujah mereka dengan bahas. Bahas menapis kebatilan.

Maka bahas dalam Parlimen itu sesuatu yang baik. Bila kerajaan mahu buat sesuatu usul, ianya akan dibahaskan di Parlimen. Pembangkang pun perlu membetulkan niat untuk berbahas. Jangan membangkang hanya kerana kamu pembangkang.

Bangkang dengan hujah dan cadangan yang membina. Baru usul yang dibawa itu dapat dicermati dengan bijaksana.

Pada masa yang sama, pemerintah janganlah takut dengan bahas. Janganlah pula kamu gelar pembangkang penderhaka atau gila kuasa hanya kerana kamu takut usul kamu dibahas.

Rakyat pula janganlah gelojoh hendak setuju atau bangkang sesuatu usul sehingga kita dengar bahas usul tersebut.

Kalau tidak sampai bila pun kita akan dilembukan oleh ahli politik….

ISLAMISME SUDAH KALAH, NASIONALISME SUDAH MENANG

Sejak zaman sekolah lagi, saya menyokong Pas. Pada zaman itu hanya ada UMNO dan PAS ( Semangat 46 memang tidak diambil peduli). Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah sokong UMNO.

Waktu itu pemahaman saya, UMNO membawa perjuangan bangsa Melayu manakala Pas membawa perjuangan Islamisme. Ini yang saya faham dari membaca Harakah waktu itu.

Sejak zaman itu, semangat Islam yang membara membuatkan saya bercita cita untuk membantu menubuhkan sebuah khalifah Islam. Konsep satu ummah. Hari ini saya masih mempunyai idealisme yang sama.

Saya masih menanti Imam Mahdi. Saya masih mengharap untuk lihat ummat Islam di bawah satu lembayung. Mungkin di bukan zaman saya.

Semasa zaman matrikulasi, saya enggan memasuki PKPIM kerana PKPIM adalah persatuan di bawah ABIM dan ABIM di bawah Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim pula waktu itu adalah pemimpin harapan UMNO.

Kemudian saya ke kampus induk UIA dan Anwar Ibrahim dipecat. Anwar Ibrahim dan Pas bersatu.

Maka hati saya terbuka kepada PKPIM kerana ramainya kawan kawan saya di situ dan kami sefikrah.

Pada zaman kawan kawan saya menjadi pimpinan di UIA, kami berusaha dan berjaya untuk menyatukan PKPIM dan WUFI ( Pas) dan kami menewaskan kawan kawan SAHABAT (UMNO) yang bertanding pilihanraya kampus dengan kemenangan terbesar dalam sejarah UIA.

Kami bangga kerana kami berjaya menyatukan ummah dengan idealisme Islam kami. Kami yakin dengan masa depan semangat Islamisme kami.

Hampir 20 tahun kemudian, UMNO dikalahkan. Saya lihat kawan kawan saya yang ada semangat Islamisme naik di UMNO. Berputik harapan, bahawa UMNO juga akan memperjuangkan Islamisme.

Kemudian PAS bergabung dengan UMNO. Saya gembira dan saya membantah sesiapa yang mencela gabungan tersebut.

Saya mula yakin Islamisme yang dibawa oleh Pas akan menundukan nasionalisme yang dibawa oleh UMNO.

Saya naif.

Rupanya suara nasionalisme UMNO lebih gagah daripada suara Islamisme Pas. Malah suara Islamisme kini sudah di Melayukan. Hanya hak orang Islam Malaysia mula diperjuangkan.

Suara Malaysia yang gagah membela Muslim Bosnia, Muslim Afghanistan, Muslim Kashmir, Muslim Uighur mula menjadi lemah.

Kini suara di Malaysia mula bergema dengan kebencian kepada saudara saudara seislam kita. Kita mula merasakan bahawa kita lebih baik dari mereka. Kita ambil kejahatan satu dua mereka dan kita besar besarkan untuk menjustifikasikan kesombongan kita. Sifat halim kita sudah mula pudar.

Yang lebih menyayatkan hati, suara suara rakan rakan perjuangan dalam Pas kita juga mula ikut bergema sama dengan suara nasionalisme yang membingitkan.

Malah yang tidak setuju dengan kebingitan suara nasionalisme ini dalam Pas dan UMNO juga hanya senyap, enggan menentang arus nasionalisme yang sedang membara.

Akhirnya yang masih bersuara hanyalah suara suara NGO Islam yang istiqamah dari dulu seperti Abim dan Mapim.

Suara itu pun cuba didiamkan oleh pejuang pejuang nasionalisme yang menuduh gerakan gerakan Islam ini “balaci liberalisme” atau “ambil komisyen membawa pendatang asing masuk Malaysia”.

Ada juga yang menuduh mereka bodoh dan tidak berfikir panjang.

Nampaknya semangat Islamisme sudah jadi jahat sekarang….

Kepada Allah kita serahkan semua….

AKAN KECUNDANGKAH AMERIKA SYARIKAT?

Berbeza dengan Malaysia yang mula melonggarkan kuarantin kita dengan menumpaskan sedikit demi sedikit Covid 19, Amerika Syarikat mula sudah tidak peduli dengan Covid 19 walaupun virus itu terus menjarah nyawa warganya.

Rakyatnya telah keluar ke jalanan untuk membela George Floyd yang dibunuh oleh pihak polis. Pihak anarki juga mengambil kesempatan untuk memporak perandakan lagi ketenteram awam.

Jumaat lepas, 400 kes baru dilaporkan di setiap 22 negerinya, manakala 14 negeri lain masih mencatatkan ratusan kes baru. Jangkitan ini semua sebelum protesan besar besaran di seluruh negara.

Dengan protes jalanan baru baru ini, dijangkakan jumlah kes baru akan naik lagi secara drastik.

Pada masa yang sama kerajaan negeri di sana juga mula menarik balik langkah langkah pencegahan perebakan virus Covid 19 dengan ditunjangi sendiri oleh Presiden mereka.

Mereka mula pasrah kerana mereka tidak kuat atau mampu untuk menghentikan aktiviti ekonomi mereka demi mengalahkan Virus Covid ini.

Adakah ini tanda tanda satu perubahan gergasi akan berlaku dalam geopolitik antarabangsa ?

Wallahu a’lam…

Holy Quran 105:5

فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍۭ

Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

ASALKAN PARTI ISLAM?

Ada yang berkata, kita kena sokong orang Islam walaupun orang Islam itu membuat kezaliman. Dengan alasan itu mereka tidak suka Parti Islam mereka ditegur.

Masalahnya, bukan ini yang Allah ajar dalam Al Quran.

Jika ada satu bangsa yang paling rasis dalam Al Quran, ianya adalah bangsa Firaun. Kejahatan mereka kepada Bani Israil tidak terkata.

Allah s.w.t sering mengulang bahawa mereka
membunuh bayi lelaki Bani Israil setiap selang setahun dan melepaskan bayi perempuan.

Bayangkan impak perbuatan paling keji ini. Sejahat jahat manusia pun, akan mengelak membunuh bayi. Suara hati mereka tidak akan benarkan mereka melakukannya. Bayangkan betapa gelapnya hati bangsa Firaun ini.

Kemudian bayangkan nasib bayi bayi perempuan yang lahir tanpa perlindungan kaum lelaki mereka yang telah dibunuh dan ditinggalkan sedikit. Bayangkan bagaimana mereka dieksplotasi oleh satu kaum yang begitu gelap hatinya.

Sebab itulah ketika satu hari Nabi Musa a.s ternampak seorang lelaki Bani Israil bertengkar dengan lelaki bangsa Firaun, Nabi Musa a.s telah terus berpihak dan menolong lelaki Bani Israil dan menentang lelaki bangsa Firaun.

Walhal Nabi Musa a.s tidak tahu hujung pangkal mereka bertengkar. Malangnya lelaki bangsa Firaun itu terbunuh ditumbuk Nabi Musa a.s dalam pertengkaran itu.

Barulah dia mengetahui yang salah dalam pertengkaran itu ialah lelaki Bani Israil itu. Dia tersalah sangka kerana lelaki itu juga beragama tauhid Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf dan dari bangsa yang dizalimi maka kebenaran berada di pihak lelaki Bani Israil.

Namun jelas Nabi Musa a.s tersilap.

Maka berdoalah Nabi Musa a.s

“Holy Quran 28:17

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِّلْمُجْرِمِينَ

Ia merayu lagi: “Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah”.

Pengajarannya, kita Muslim kena adil. Hakim zaman Saidina Ali tetap berpihak kepada si Yahudi walaupun lawannya ialah Saidina Ali sendiri.

Itulah kehebatan ummat ini.

APABILA YANG MISKIN SENTIASA DIZALIMI

Sesempurna mana sekalipun undang undang manusia, ia sentiasa memenangkan yang kaya.

Sebelum Covid 19, Bangladesh mempunyai 4000 kilang baju yang menerima tempahan dari jenama terkemuka dunia terutamanya dari USA.

Pekerja pekerja Bangladesh ini biasanya terdiri daripada wanita wanita yang bekerja dalam keadaan yang sempit dan dieskploitasi. Gaji murah, waktu kerja panjang tanpa perlindungan.

Namun eksport Bangladesh 80% adalah daripada industri ini.

Namun apabila Covid 19 melanda, syarikat pakaian terbesar di USA bernama Kohl’s pada 22.03.2020 membatalkan tempahan mereka bernilai USD 150 juta dengan kilang mereka di Bangladesh.

Syarikat syarikat antarabangsa lain juga mengambil langkah yang sama dengan membatalkan tempahan mereka menyebabkan tempahan bernilai hampir USD 3.18 billion dibatalkan. Eksport Bangladesh merudum 84%.

Akibatnya banyak kilang Bangladesh tutup tanpa membayar gaji para pekerja mereka yang ditinggalkan terkontang kanting.

Namun syarikat seperti Kohl’s masih untung kerana pada 01.04.2020, mereka membayar dividen kepada pemegang saham mereka sebanyak USD 109 juta.

Seronok kan menjadi orang kaya!!!

PERJUANGAN ISLAM

Perjuangan Islam bukanlah satu perjuangan untuk menaikkan parti politik Islam menjadi pemerintah negara.

Perjuangan Islam bukanlah satu perjuangan untuk menaikkan kembali sistem Khalifah menjadi Kerajaan terkuat di dunia.

Perjuangan Islam bukanlah untuk mengislamkan seluruh manusia di muka bumi ini.

Perjuangan Islam bukanlah untuk menjadikan ummat Islam paling kaya di dunia dengan menguasai ekonomi dan politik dengan kekayaannya.

Perjuangan Islam ialah perjuangan mendidik manusia untuk menjadi berakal dengan kemampuan untuk mendengar hujah dan melihat bukti.

Perjuangan Islam ialah perjuangan mendidik manusia untuk menggunakan akal tersebut untuk menjadi adil dengan menunaikan hak manusia kepada Tuhan, kepada sesama manusia, kepada mahkluk bumi yang lain.

Perjuangan Islam ialah perjuangan mendidik manusia dengan mengindahkan lagi keadilan tersebut dengan sifat ihsan sehingga memegunkan dunia dengan akhlak yang baik dan sempurna.

Untuk mencapai mencapai matlamat ini, setiap Muslim kena berjuang di lapangan masing masing terutamanya politik, ekonomi dan sosial.

Maka untuk itu mungkin kita perlukan parti politik, mungkin kita perlukan tentera, mungkin kita perlukan jutawan. Namun itu bukan matlamat kita…