ADAKAH KITA UMMAT BAWANG PUTIH ?

Bani Israil telah teruk disiksa dan dihina oleh Bangsa Firaun. Apakah kehinaan yang lebih dasyhat apabila bayi lelaki dibunuh dan bayi perempuan dibiarkan hidup?

Bayangkan nasib wanita wanita Israil yang tidak mempunyai kaum lelaki yang mencukupi untuk melindungi mereka?

Bagaimana mereka diperkotak katikan oleh Bangsa Firaun.

Akhirnya Nabi Musa a.s membawa mereka keluar dari bumi Mesir untuk kembali ke bumi Palestine.

Sudah tentu perjalanan mereka itu penuh dengan ranjau dan cubaan yang menyukarkan. Namun dengan rahmat Allah, Bani Israil diberikan Manna (madu) dan Salwa (burung) makanan yang penuh tayyib dan berkat.

Namun mentaliti kehambaan menyebabkan mereka mengimbau kembali makanan makanan yang diberikan kepada mereka oleh Bangsa Firaun semasa mereka menjadi hamba di Mesir.

Maka mereka merungut kepada Musa a.s dan menuntut supaya Allah berikan mereka timun, bawang putih dan kacang dhal sebagaimana mereka mendapatnya di Mesir dahulu.

Terkejut Nabi Musa a.s melihat mentaliti Bani Israil.
“Allah sudah berikan kamu makanan yang begitu enak iaitu madu dan daging burung tetapi apa yang kamu idamkan ialah timun, bawang putih dan kacang dhal??”

Memang perubahan atau hijrah itu memerlukan pengorbanan. Ianya juga akan memakan masa.

Bukankah sewajarnya Bani Israil bersabar sehingga sampai Palestine dan mereka boleh makan sayur sayuran itu sepuasnya?

Sebaliknya mereka sudah lupa jasa rahmat Allah dan Nabi Musa membebaskan mereka dari penindasan Firaun sebaliknya mula merungut tidak dapat makan sayuran.

Itulah sifat manusia yang sentiasa tidak bersyukur dengan apa yang diperolehi hanya kerana kebaikan tersebut disertakan dengan sedikit ujian.

Maka mereka mula mengimbau kebaikan yang sedikit yang mereka perolehi dan melupakan keburukan yang banyak.

Kadang kadang keburukan yang kita nampak besar itu kalau direnung dengan akal yang bersih sebenarnya kecil sahaja.

Begitu juga sebaliknya.

Manakala kebaikan yang kita nampak besar itu kalau direnung dengan akal yang bersih sebenar kecil sahaja.

Begitu juga sebaliknya.

Begitu Allah s.w.t mendidik pemikiran kita.

Holy Quran 2:61

وَإِذْ قُلْتُمْ يَٰمُوسَىٰ لَن نَّصْبِرَ عَلَىٰ طَعَامٍ وَٰحِدٍ فَٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنۢبِتُ ٱلْأَرْضُ مِنۢ بَقْلِهَا وَقِثَّآئِهَا وَفُومِهَا وَعَدَسِهَا وَبَصَلِهَا ۖ قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ ٱلَّذِى هُوَ أَدْنَىٰ بِٱلَّذِى هُوَ خَيْرٌ ۚ ٱهْبِطُوا۟ مِصْرًا فَإِنَّ لَكُم مَّا سَأَلْتُمْ ۗ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلْمَسْكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٍ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقْتُلُونَ ٱلنَّبِيِّۦنَ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ ۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.

KEMULIAAN

Kemuliaan itu bukanlah dengan kau menjadi pemerintah.
Kemuliaan itu ialah apabila kau menjadi pemerintah yang amanah yang adil.

Kemuliaan itu bukanlah dengan kau menjadi orang kaya.
Kemuliaan itu ialahlah apabila kau menjadi orang kaya yang pemurah yang tawadhu.

Kemuliaan itu bukanlah dengan kau menjadi ulama.
Kemuliaan itu ialah apabila kau menjadi ulama yang lidah kau tidak takut menyatakan kebenaran.

Kemuliaan itu bukanlah dengan kau menjadi muslim.
Kemuliaan itu ialah apabila kau menjadi muslim yang soleh.

Kemuliaan itu bukanlah dengan kau menjadi masyhur .
Kemuliaan itu ialah apabila kau menggunakan kemasyhuran kau untuk menyatakan amar maaruf nahi mungkar.

Kemuliaan itu bukanlah dengan kau mempunyai banyak anak.
Kemuliaan itu ialah apabila anak anak kau berguna kepada masyarakat.

Kemuliaan itu bukanlah dengan kau banyak beribadah.
Kemuliaan itu ialah apabila ibadah kau membuatkan kau bertaqwa.

Kemuliaan itu bukanlah dengan kau dimuliakan di dunia sini.
Kemuliaan itu ialah apabila kau dimuliakan di akhirat sana.

Sesungguhnya itu sahajalah kemuliaan yang diharapkan.

MEMBELA ORANG SALAH : AN NISA 107-112

Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa.

Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

Sedarlah! Kamu ini adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (dari azab seksa yang disediakan oleh Allah)?

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata.

MALAYSIA IALAH MALAYSIA

Ada rakyat Malaysia yang mahu Malaysia mengambil nilai nilai barat dan meninggalkan nilai nilai Islam walaupun mereka tidak dizalimi dengan nilai Islam tersebut.

Mereka prejudis kepada nilai Islam walaupun sejarah Malaysia membuktikan nilai Islam inilah yang menyebabkan orang Islam negara ini tidak menzalimi orang bukan Islam ketika mana negara negara barat sendiri menzalimi orang yang tidak sewarna kulit, tidak sebangsa atau tidak seagama dengan mereka.

Hatta hari ini pun negara negara barat sudah mula kembali mengamalkan nilai nilai nasionalisme yang membenci bangsa Asia kerana merugikan kedudukan mereka sebagai bangsa pribumi di tanah air mereka.

Orang bukan bumiputera mesti berhenti mempertikaikan kedudukan istimewa bangsa bumiputera negara ini kerana ini adalah satu perkara asas yang sudah pun dipersetujui oleh nenek moyang kita semasa membentuk negara ini.

Kalau mereka terus mempertikaikan hak bumiputera ini, maka tidak ada apa yang boleh menghalang bumiputera pula untuk menyoal hak kerakyatan bukan bumiputera di negara bertuah ini.

Jika kita saling mempertikaikan hal hal sebegini, nescaya yang rugi adalah kita semua. Benih benih permusuhan hari ini akan mengakar teguh dalam kalbu generasi akan datang yang sudah pasti akan menghancurkan masa depan negara ini.

Bangsa bukan bumiputera mesti berhenti mengimpikan negara ini menciplak negara barat kerana negara ini sudah berada di landasan yang betul dengan nilai nilai yang tersendiri walaupun tidak dinafikan ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki bukan dengan saling kritik mengkritik tetapi sebaliknya di meja perundingan.

KALAH TIDAK SEMESTINYA SALAH

Tahukah kita selepas kematian Muawiyah bin Yazid bin Muawiyah, satu satunya khalifah yang sah ialah Abdullah ibn Zubair r.a yang ditumbangkan oleh Marwan bin al Hakam melalui jenaralnya Al Hajjaj. Mayatnya digantung di Makkah untuk beberapa lama sebagai amaran kepada yang lain.

Mohamed Morsi, Presiden Mesir sah yang ditumbangkan secara kudeta tentera dan kemudiannya memenjarakan Morsi dan akhirnya Morsi gugur syahid dalam penjara.

Adnan Manderes Perdana Menteri Turki, nyawanya telah berakhir di tali gantung ketika cuba mempertahankan Islam di bumi Turki selepas sekularisme yang dibawa oleh Attaturk.

Ini hakikat dunia. Kalah menang kadang kadang langsung tidak relevan dengan betul salah.

Boleh jadi Allah memenangkan pihak yang benar dan mengaibkan pihak yang salah sebagaimana yang berlaku pada Perang Badar.

Boleh jadi juga Allah memenangkan pihak yang salah dan menjatuhkan pihak yang benar sebagaimana yang berlaku di Perang Uhud.

Itu adalah sunnatullah di dunia ini.

Namun di akhirat, sunnatullah ialah yang benar akan menang dan yang salah tetap akan terhina.

SOMBONG

Kesombongan raja terletak pada ketaatan para menterinya

Kesombongan orang kaya terletak kepada korupsi masyarakatnya

Kesombongan ulama terletak pada ketaksuban anak muridnya

Kesombongan wanita terletak pada cinta nafsu serakah mata memandangnya

Kesombongan pahlawan terletak pada ketakutan musuhnya

Kesombongan orang agama terletak pada ibadahnya

Kesombongan orang bijak pandai terletak pada bahasanya

Kesombongan ahli politik terletak pada kejahilan pengikutnya

Kesombongan iblis terletak pada asal usulnya

Kesombongan manusia terletak pada akalnya

Kesombongan mahkluk terletak pada kebodohannya

Kesombongan Rabbul Jalil terletak pada Keagungan dan KesempurnaanNya.

MENGGELAR KAFIR HARBI

Saya dapati begitu mudah orang agama menggelar sekumpulan manusia yang mereka tidak suka sebagai kafir harbi dan hamba kafir harbi kerana perbezaan pandangan politik.

Saya pandang panggilan tersebut sebagai sesuatu yang serius kerana orang kafir zimmi adalah seorang bukan muslim yang dalam perlindungan kerajaan Islam yang mana nyawanya, maruahnya dan hartanya adalah haram disentuh. Malah sesiapa yang menzalimi mereka, pendakwa raya mereka di akhirat kelak ialah Rasulullah s.a.w sendiri.

Maka setiap warganegara bukan Islam dalam negara Islam ini adalah zimmi.

Manakala kafir harbi pula adalah seorang bukan muslim yang merupakan musuh kepada kerajaan Islam dimana darah dan hartanya adalah halal.

Jadi jika seorang agamawan dengan sewenang-wenangnya memanggil seorang zimmi yang haram darahnya sebagai harbi yang halal darahnya, bukankah dia telah menghalalkan sesuatu yang haram?

Jangan kata jangan ambil serius perkara ini sebab ini adalah berkaitan halal dan haram apatah apabila diucapkan oleh agamawan boleh menyebabkan pengikut mereka ambil serius perkara ini dan memotivasikan pengikut mereka “melaksanakan fatwa” agamawan ini.

Apabila agamawan pun tidak pandai menjaga lidah mereka, apa lagi yang kita boleh harapkan dari pengikut mereka….

DI MANA PANDANGAN UKHRAWI KITA

Di pandangan orang munafik, tidak ada manusia yang sebodoh orang Ansar.

Dalam pandangan orang munafik, langsung tidak munasabah orang Ansar menyambut baik Muhajirin yang lari dari Makkah malah sanggup pula berkongsi harta malahan sanggup menceraikan isteri mereka untuk dikahwini oleh Muhajirin.

Malah lebih tidak munasabah, melantik Rasulullah s.a.w yang datang dari Makkah dan ditolak oleh orang Makkah dan Taif, sebagai ketua Madinah dengan mengenepikan anak watan Madinah sendiri.

Jika difikir fikirkan, melalui pandangan dunia, memang munasabah lojik orang munafik ini. Malah tidak keterlaluan pandangan nasionalis orang munafik ini juga banyak dipegang oleh Muslim Malaysia.

Namun jika dalam pandangan Allah dan Rasul serta manusia manusia dari pandangan ukhrawi, betapa agungnya kebijaksanaan orang Ansar.

Holy Quran 59:9

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu;

dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.

Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Hari ini banyak orang Islam berpegang kepada Islam demi mengejar dunia semata mata. Solat dhuha untuk murah rezeki dunia, beri zakat untuk jadi cepat kaya, belanja makan untuk murah rezeki, beri duit kepada ibu bapa untuk murah rezeki, pergi umrah dan haji hanya minta dapat projek atau menang pilihanraya. Malah ada orang kaya yang bina masjid untuk “rasuah” Allah supaya rezeki haram dia ada berkat.

Holy Quran 2:200

Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

Tanpa kita sedari sebenarnya kita telah menjadi lebih sekular yang lebih teruk daripada orang bukan Islam. Kita menggunakan agama kita untuk menghalalkan ketamakan dunia kita.

Kita ambil rasuah, kita khianati amanah kepercayaan, kita dengki mendengki antara satu sama lain, kita menipu bangsa lain dan kemudian kita halalkan dengan alasan kita “hendak naikkan ekonomi orang Islam” atau “ sekurangnya orang Islam bayar zakat”.

Kita tidak segan dan malu kepada Allah untuk halalkan yang haram dan haramkan yang halal demi kepentingan dunia kita.

Allah swt tidak menurunkan Islam untuk menjadikan kita kaya di dunia sebaliknya untuk menjadikan kita kaya di akhirat kelak.

Bila Allah menurunkan Al Quran, antara perkara pertama yang Allah swt didik ialah cara berfikir para sahabat.

Jika pandangan mereka masih berkisar kepada ganjaran dunia, mereka tidak akan mampu mengorbankan dunia untuk mencapai akhirat.

Maka para sahabat dididik untuk mengutamakan pandangan ukhrawi dan membelakangkan pandangan dunia.

Dengan itu, para muhajirin dapat meninggalkan assabiyah mereka dan berhijrah ke Habsyah dan Madinah meninggalkan perlindungan suku kaum mereka yang tidak pernah dibuat oleh mana mana bangsa Arab sebelumnya.

Dengan itu juga, para sahabat dapat meninggalkan keselesaan rumah dan keluar berjihad ke seluruh dunia semata mata untuk menegakkan kalimah La ilaha illa Allah.

Kemunasabahan tindakan para sahabat ini kita tidak akan faham melainkan jika kita juga punyai pandangan ukhrawi sebagaimana mereka.

ADAKAH AHLI POLITIK TIDAK GILA KUASA?

Sering diucapkan bahawa Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir kemaruk kuasa. Tapi kalau sudah masuk politik, tok guru pun gila kuasa juga.

Dua orang lelaki pernah bertemu Rasulullah lalu meminta daripada Baginda diberikan kuasa sebagai pemimpin. Rasulullah menegur mereka dengan berkata:

إِنَّا لاَ نُوَلِّي هَذَا مَنْ سَأَلَهُ، وَلاَ مَنْ حَرَصَ عَلَيْهِ

“Kami tidak memberikan urusan kepimpinan ini kepada siapa yang memintanya, kami juga tidak berikan kepimpinan buat mereka yang terlalu bersungguh mendapatkannya.” (HR al-Bukhari)

Kalau tidak gila kuasa, sudah tentu jawatan presiden parti pun tidak dikejar kejar. Jawatan wakil rakyat pun akan dilepaskan bila sudah tidak ada kesihatan dan kekuatan untuk menyumbang.

ITULAH NILAI DUNIA DI PANDANGAN ALLAH

Antara Saidina Ali r.a dan Saidina Muawiyyah, Saidina Ali yang terbaik.

Namun Saidina Muawiyyah yang akhirnya menang. Malah sekumpulan pengikut Saidina Ali berpecah dari Saidina Ali dan memerangi Saidina Ali. Sedangkan orang yang keluar itu orang yang kuat solat, banyak baca Al Quran dan kuat berqiyamulail.

Mengapa? Kerana mereka bukan bertindak berdasarkan ilmu tetapi berdasarkan sentimen politik dan agama yang tidak berlandaskan ilmu.

Antara Saidina Hussain dan Yazid bin Muawiyyah, Saidina Hussain yang terbaik. Namun akhirnya Yazid yang menang.

Mengapa? Kerana dikhianti oleh orang Kufah yang menjanjikan ketaatan kepada Hussain namun akhirnya mereka membunuh wakil Saidina Hussain dan membiarkan tentera Yazid menghancurkan keluarga Ahlul Bait.

Antara Saidina Abdullah bin Zubair dan Marwan bin Hakam, yang terbaik tentulah Saidina Abdullah bin Zubair. Namun akhirnya Marwan yang menang.

Mengapa? Kerana Yang Zalim tidak ada masalah untuk menghancurkan Kaabah dengan lontaran batu demi kuasa. Akhirnya mereka memancung Abdullah bin Zubair ketika baginda tengah khusyu solat.

Itulah nilai dunia di mata Allah.