TALAM DUA MUKA

Sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah, kaum Aus dan Khazraj yang berperang sekalian lama sesama sendiri telah bersetuju untuk melantik Abdullah bin Ubay sebagai pemimpin mereka, sebagai raja Yathrib.

Abdullah bin Ubay pada waktu itu adalah ahli politik yang berjaya dan disegani oleh orang Yathrib.Dia disokong pula tokoh-tokoh “korporat” waktu itu yang terdiri daripada orang orang Yahudi.

Ekonomi Yathrib pada waktu itu dipegang oleh orang Yahudi.

Namun segalanya berubah apabila Rasulullah s.a.w
dilantik sebagai Ketua Madinah.

Namun Abdullah bin Ubay dan para Yahudi tidak berputus asa dalam mengejar cita cita politik mereka.

Maka mereka mula bermuka manis dihadapan para Muslimin dan kemudiannya menjadi masam di belakang para Muslimin.

Abdullah bin Ubay sendiri pada awalnya rajin ke Masjid dan rajin mengampu Rasulullah s.a.w.

Demi kuasa, dia sanggup merendahkan dirinya konon konon dia alim, dia baik, dia soleh.

Sejak zaman itu agama sudah digunakan untuk tujuan mendapatkan kepentingan dunia.

Mereka ingat mereka membodohkan para Muslimin tetapi Allah swt menyelar mereka dan mengatakan hakikatnya mereka yang bodoh.

Mereka mengorbankan akhirat mereka untuk mendapatkan dunia .

Holy Quran 2:8

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ

Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

Holy Quran 2:9

يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.

Holy Quran 2:11

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ قَالُوٓا۟ إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.

Holy Quran 2:13

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ ءَامِنُوا۟ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓا۟ أَنُؤْمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُ ۗ أَلَآ إِنَّهُمْ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعْلَمُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Holy Quran 2:14

وَإِذَا لَقُوا۟ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوْا۟ إِلَىٰ شَيَٰطِينِهِمْ قَالُوٓا۟ إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِءُونَ

Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.

Holy Quran 2:16

أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشْتَرَوُا۟ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلْهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَٰرَتُهُمْ وَمَا كَانُوا۟ مُهْتَدِينَ

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.

DEBAT SIA SIA

Surah Al Kahfi sebenarnya adalah satu surah yang mengajar adab keilmuan kepada para Muslim.

Ianya mengajar umat Islam ini untuk tidak berdebat mengenai perkara yang tiada manfaat kepada kita. Bukan semua pengetahuan yang kita perlu tahu.

Allah mengajar bahawa berapa lama Ashabul Kahfi tidur itu tidak penting, berapa orang penghuni Ashabul Kahfi itu tidak penting, apakah nama penghuni Ashabul Kahfi itu tidak penting dan apatah lagi nama anjing yang menemani Ashabul Kahfi tersebut.

Penyakit debat sia sia ini semakin menular di kalangan ummat ini. Isu seperti Dimana Allah, adakah kita akan melihat Allah, neraka kekal atau sementara dan pelbagai isu mengenai perkara ghaib. Kalau semua isu ini penting, nescaya Allah dan Rasul telah beri petunjuk yang jelas dalam Al Quran.

Namun banyak isu petunjuk yang diberikan tidak jelas. Maka Allah mengajar jika berdebat pun bersederhanalah.

Malah dalam perkara lain, petunjuk langsung tiada, maka banyak yang berdebat menggunakan lojik akal.

Apa pun, adabnya ialah elakkan perdebatan. Kalau perlu berdebat, bersederhanalah sebab hanya Allah sahaja yang tahu hakikatnya.

Tidak perlu sehingga kita kafir mengkafir, label melabel, fitnah memfitnah sehingga saling sakit menyakiti.

Holy Quran 18:22

سَيَقُولُونَ ثَلَٰثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًۢا بِٱلْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّىٓ أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَآءً ظَٰهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا

(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).

AL QURAN & TAMADUN MANUSIA

Banyak ayat Al Quran Makkiyyah diturunkan untuk membentuk pandangan alam dan gaya pemikiran manusia yang betul. Allah mengajar Muslim untuk mengenali Allah dengan merenung alam ini. Sebab itu terdapat banyak ayat ayat mengenai langit dan bumi, bulan dan binatang, pokok dan haiwan, hujan dan tumbuhan, siang dan malam dimana Allah ajar ini semua adalah “ayat-ayat” Allah.

Apabila kita sudah mempunyai pandangan alam dan gaya pemikiran yang betul, barulah iman akan tersemai kukuh dalam jiwa. Bila iman mula ada, Allah menurunkan pula ayat ayat hukum untuk ibadah dan fiqh supaya dengan iman ini, akan terbentuk pula taqwa.

Makin banyak ibadah makin kuat taqwa sehingga akhirnya taqwa inilah yang akan menghalang kita dari dosa dan menyuruh kita kepada kebaikan. Maka terhasillah kita menjadi manusia yang berakhlak mulia dan boleh menyumbang kepada pembentukan tamadun manusia yang penuh dengan peradaban.

Namun hari ini, sistem pendidikan kita gagal membentuk pandangan alam dan gaya pemikiran Muslim yang betul. Anak anak kita telah terus dididik dengan fiqh dan ibadah ketikamana iman sendiri belum menjadi mantap.

Natijahnya ibadah hanya menjadi ritual yang tiada roh.Akibatnya ibadah kita tidak dapat menghasilkan taqwa yang sempurna.

Maka kita lihat hari ini banyak Muslim yang solat tetapi mulut tetap lancang, rasuah tetap diambil, pengkhianatan berleluasa, jenayah menjadi biasa, dosa seksual tidak terbendung.

Ini semua kerana ilmu Quran yang tidak diajarkan dengan sempurna. Kita semua sibuk hendak anak kita tahfiz Quran tetapi betapa sedikitnya anak anak kita yang faham Al Quran.

Itulah bezanya generasi kita dengan generasi sahabat yang dididik oleh Allah dengan Al Quran.

PERTEMBUNGAN AHLI HADITH DAN AHLI FIQH

Sejak PKP ini , pertembungan antara Ahli Hadith/Salafi/Hanabilah/Wahabi dengan Ahli Fiqh/ Asy’ari/ Maturudi/Habib/Sufi makin menjadi jadi.

Kedua dua membawa hujah mereka dan kedua dua membidas hujah lawan masing masing.

Saya ingin mengingatkan kembali kedua dua pihak ini akan satu Hadith yang saya pasti kedua dua pihak lebih arif dari saya mengenainya. Hadith ini boleh ditemui dalam Shahih Bukhari.

Satu hari Rasulullah s.a.w menghantar rombongan tenteranya ke Bani Quraizhah. Baginda berpesan kepada para sahabat ini supaya jangan sembahyang asar kecuali di perkampungan Quraizhah.

Maka berangkatlah angkatan tentera ini namun hampir menjelang maghrib, mereka tidak mampu sampai ke perkampungan Bani Quraizhah.

Maka timbul satu konflik. Sebahagian sahabat enggan untuk sembahyang asar kerana patuh secara literal kepada perintah Rasulullah s.a.w yang menyuruh mereka sembahyang hanya di perkampungan Bani Quraizhah. ( Saya anggap kumpulan ini sebagai Ahli Hadith)

Manakala sebahagian sahabat yang lain pula tidak bersetuju sebaliknya berpendapat bahawa tujuan Rasulullah s.a.w memberi arahan tersebut adalah untuk mengarahkan angkatan tentera tersebut menyegerakan perjalanan mereka supaya boleh sembahyang Asar di perkampungan tersebut. Memandangkan sembahyang Asar hampir luput, maka haruslah menunaikan sembahyang Asar itu walaupun masih belum sampai perkampungan tersebut.

Kumpulan kedua ini ialah mereka yang melihat kepada maksud dibalik perintah Rasulullah ( Saya anggap kumpulan ini sebagai Ahli Fiqh)

Kemudian apabila berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, para sahabat mengadukan permasalahan ini kepada baginda. Baginda hanya diam tidak membantah mana mana kumpulan sahabat tersebut yang memberi indikasi ijtihad kedua dua kumpulan tersebut adalah betul.

Untuk satu mengatakan pendapat satu kumpulan betul tidak bermaksud kumpulan satu lagi salah.

Perselisihan kedua dua kumpulan ini bukan pada perkara asas agama ini sebaliknya adalah pada perbezaan penafsiran nas, cara pengendalian dalil, dan pada khilaf dalam keutamaan dalil.

Dalam satu isu boleh sahaja ahli hadith lebih tepat dan dalam isu lain ahli fiqh betul. Selagi niat kedua dua kumpulan ini adalah keredhaan Allah,maka sewajarnya tidak sukar untuk sukar untuk mengurus perbezaan ini.

Cumanya jika perdebatan ini akibat kerakusan meluaskan pengaruh kepada pemimpin dan rakyat, atau untuk berlagak menunjukkan kepandaian, atau ketamakan kepada harta dunia, maka perbezaan yang kecil pun, akan diapi apikan oleh syaitan.

Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada ulama ulama kita.

KESOMBONGAN BANGSA MALAYSIA

Apabila kita memandang rendah kepada kemiskinan dan keburukan rupa paras Rohingya dan memandang tinggi kepada kekayaan dan cantik rupa paras kita, kita terlupa bahawa tidak mustahil esok mungkin Allah merubah segalanya.

Holy Quran 3:140

Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Apakah kita fikir hanya kerana negara kita makmur, rakyat kita hidup senang lenang, kita ini bangsa yang mulia di sisi Allah?

Apakah kita tidak membaca kisah pemilik kebun dalam Surah Al Kahfi yang berlagak dengan kemakmuran kebun sehingga dia merasakan dia mulia di sisi Tuhan?

Holy Quran 18:35

Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.

Holy Quran 18:36

Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

Kita tidak mahu membantu bangsa Rohingya itu tidak ada masalah. Itu hak kita. Kita sedar kita punyai kekangan.

Namun kita langsung tidak ada hak untuk menghina, melaknat dan memaki satu bangsa dengan tuduhan pengecut, bacul dan lari dari perang.

Maka adakah kita juga harus menghina bangsa Syria, bangsa Bosnia, bangsa Uighur yang melarikan diri itu?

Bukalah Al Quran lihat bagaimana Allah memerintahkan Nabi Musa keluar dari negara Mesir, bukankah itu satu pelarian?

Kenapa kita tidak fikir kebijaksanaan Allah tidak memerintahkan Rasulullah s.a.w duduk di Makkah dan berperang dengan Arab Quraisy tanpa berhijrah ke Madinah?

Apakah kita fikir zaman ini kita hanya boleh melarikan diri daripada peperangan selepas mendapat wahyu?

Jangan sombong. Tidak sukar untuk Allah menterbalikkan dunia untuk beri kita satu pengajaran.

Baru kita tahu kita ini berani atau bacul.

Tidak mampu tolong, sekurang kurangnya doa kan lah yang baik baik.

BUKAN SEMUA NABI HERO UMMATNYA

Menegur pemerintah ketika mana rakyat menyokong kita itu walaupun merbahaya tetapi kita akan kuat kerana mempunyai suara ramai yang mendokong kita. Kita akan rasa kuat dan kita akan rasa kita berada di landasan yang betul.

Namun kebanyakan Nabi dan Rasul yang diutus tidak mendapat kenikmatan sokongan ramai ini.

Nabi Nuh, Nabi Luth, Nabi Salleh, Nabi Hud adalah antara Nabi Nabi yang sampai sudahnya tidak mendapat sokongan ummat mereka. Suara mereka ditengelamkan oleh ejek,celaan dan gelak ketawa ummat mereka. Akhirnya ummat mereka diazab kerana kesombongan mereka.

Nabi Musa a.s serta kebanyakan Nabi Nabi yang diutus kepada Bani Israil adalah pada mulanya mendapat pujian ummat mereka namun apabila kesilapan mereka ditegur, atau apabila para Nabi menuntut pergorbanan mereka, atau menuntut perubahan cara hidup mereka, suara Nabi mereka diperkecilkan sehingga ada yang dibunuh.

Nabi Muhammad a.s dan Nabi Yunus a.s adalah Nabi yang diejek dan diketawakan secara berjamaah oleh Ummat mereka pada awal dakwah mereka namun kemudiannya diterima ummat mereka.

Dalam Al Quran, terdapat banyak ayat ayat yang Allah swt turunkan untuk memujuk Rasulullah s.a.w kerana kesedihan baginda apabila dakwah dan mesej Baginda s.a.w diperkecilkan oleh ummatnya pada waktu itu.

Cara paling mudah untuk menindas kata kata kebenaran ialah mengetawakan dan memperkecilkannya. Cara kedua ialah dengan menjerit kepadanya dan mendiamkan suara kebenaran tersebut.

Namun Alhamdulillah dengan izin Allah dan usaha dakwah Baginda dan para sahabat, Islam tertegak.

Usaha dakwah bukanlah satu usaha untuk mencari kecintaan manusia. Ianya adalah usaha menggapai cinta Tuhan. Walaupun dengan menentang sekalian ummat manusia demi menegakkan satu kebenaran dan keadilan.

Holy Quran 42:23

(Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu,

(yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)”.

MENANG KALAH BUKAN PENENTU BENAR SALAH

Kalau direnung ayat ayat Al Quran salah satu mesej yang disampaikan oleh Al Quran ialah orang jahat boleh sahaja menang di dunia.

Kadang kadang bila dilihat yang jahat Allah beri kekayaan yang banyak, badan yang sihat, rupa yang cantik, berkarisma, keluarga yang bahagia dan kawan kawan yang setia.

Manakala yang baik pula, mereka pula diuji dengan kemiskinan, rupa yang buruk, badan yang lemah, keluarga yang hancur, dipulau masyarakat.

Malah sejarah kepimpinan Islam pun membuktikan bahawa kepimpinan amat jarang diberikan kepada yang terbaik antara kita tetapi selalu diberikan kepada yang terburuk antara kita.

Malah kadang kadang ini menjadi hujjah kepada yang jahat untuk mengetawakan yang baik. Orang baik dianggap naif, tidak praktikal dan bodoh.

Bagi orang bermasalah hatinya, menang kalah di dunia ini adalah penentu betul salah. Jika seorang perompak terlepas dari undang undang dan menjadi kaya raya, maka di mata dia perompak itu adalah seorang yang berjaya.

Namun bagi orang mukmin, menang kalah di dunia ini langsung tidak ada impak. Bila dia melihat seorang buruh pendatang asing membanting tulang empat keratnya demi mencari sesuap rezeki halal, bagi dia buruh itu jauh lebih mulia dari perompak kaya tadi walaupun buruh itu selekeh dan busuk.

Itulah petanda iman.

Holy Quran 63:4

Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya ); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki).

Holy Quran 9:85

Dan janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengannya di dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

DEMOKRASI TEMPANG

Di Malaysia, untuk menjadi Perdana Menteri, dia tidak perlukan sokongan majoriti rakyat Malaysia. Walaupun dia adalah manusia yang paling dibenci oleh majoriti rakyat Malaysia, dia masih berpeluang menjadi Perdana Menteri.

Cukup sekadar dia mendapat sokongan majoriti di kawasan Parlimen dia untuk melayakan dia menjadi Ahli Parlimen dan kemudian dia mendapat sokongan majoriti daripada 222 ahli parlimen.

Untuk itu dia hanya perlu jaga kawasan Parlimen secara bersungguh sungguh untuk pastikan rakyat kawasan Parlimen dia sayang dia. Bawalah segala macam pembangunan dan turunlah membumi ke kawasan kampung. InsyaAllah pengundi sayang.

Kemudian untuk menang majoriti ahli Parlimen, maka “cash is king”. Bagi duit, bagi jawatan, bagi kuasa, insyaAllah majoriti wakil rakyat akan sokong walaupun calon PM tersebut korup atau bermasalah. Daripada 222 orang wakil rakyat, dia cuma perlu 112 undi sahaja.

Cukup mudah jika dia mempunyai sokongan kewangan yang kukuh dan jumlah ahli Parlimen yang korup yang mencukupi.

Ini sebenarnya satu sistem yang sangat tempang. Bagaimana mungkin segelintir elitis boleh menentukan masa depan negara ketika mana kita sedar tahap moral dan tahap keboleh percayaan ahli ahli politik negara ini adalah amat menyedihkan?

Perlembagaan negara mesti dipinda sewajarnya supaya jawatan Perdana Menteri dilantik terus oleh rakyat sebagaimana yang berlaku di Amerika Syarikat.

Biar calon yang mendapat undi terbanyak dilantik menjadi Perdana Menteri dan bukannya dilantik oleh wakil rakyat.

Kita sudah bosan dengan perangai terkinja kinja ahli ahli politik murahan yang semakin memualkan yang menyebabkan krisis politik negara kita sekarang ini.

Dengan ini juga pemisahan antara kuasa ekskutif dan legislatif berlaku dengan sempurna.

P/s: Sudah penat apabila setiap kali seekor melompat, kita dapat Perdana Menteri baru…

TEGUR TANDA SAYANG

Allah paling banyak mengkritik bangsa Israil. Bukan kerana Allah benci kepada bangsa itu. Sebaliknya kerana rahmah dan belas kasihanNya.

Ditegur dan ditegur, diingatkan dan diberi amaran, supaya mereka kembali ke jalan yang benar.

Bagaimana mungkin Allah membenci satu bangsa dari anak keturunan Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Yaakub, Nabi Yusuf, Nabi Ayub, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ilyas, Nabi Ilyasa, dan berapa ramai Nabi lagi.

Bagaimana mungkin Allah membenci satu bangsa yang berapa banyak Rasul dan Nabi mendoakan mereka.

Bagaimana mungkin Allah membenci satu bangsa yang Allah bangkitkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menyelamatkan mereka dari penindasan Firaun.

Bagaimana mungkin Allah membenci satu bangsa yang 3 daripada 4 kitab yang kita imani diturunkan kepada mereka.

Bagaimana mungkin Allah membenci satu bangsa yang Ibu kita, Ummul Mukminat Saffiyah berasal darinya.

Yang Allah benci ialah kejahatan mereka, penyelewengan mereka, kesombongan mereka, kezaliman mereka, dan pengkhiantan mereka.

Itulah Ar Rahman, Tuhan Yang Satu, Tuhan Yang Penuh Rahmah.

Holy Quran 2:40

يَٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتِىَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَوْفُوا۟ بِعَهْدِىٓ أُوفِ بِعَهْدِكُمْ وَإِيَّٰىَ فَٱرْهَبُونِ

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).

Holy Quran 2:47

يَٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتِىَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَنِّى فَضَّلْتُكُمْ عَلَى ٱلْعَٰلَمِينَ

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).