KERAJAAN ISLAM MESTI MISKIN?

Wujud satu anggapan bahawa kerajaan Islam ini mestilah satu kerajaan yang tidak mengejar kemakmuran dunia sebaliknya hanya mengajar kejayaan akhirat.

Anggapan ini bukan sahaja berlegar di pemikiran orang bukan Islam tetapi juga dianuti oleh orang Islam.

Sebab itu sebahagian orang Islam tidak kisah kalau kerajaan pilihan mereka itu adalah sebuah kerajaan yang gagal dalam pentadbiran kerajaan selagimana dalam pemikiran mereka, kerajaan tersebut adalah kerajaan yang melaksanakan syariat tuhan.

Ini adalah pemikiran yang tidak betul malah bertentangan dengan sunnah para Rasul dalam berpolitik.

Apabila Nabi Daud dan Nabi Sulaiman memerintah Palestine, kemakmuran Bani Israil mampu menjadikan mereka sebagai kuasa dunia yang mengetarkan kerajaan Saba’ Ratu Balqis.

Ketika Nabi Musa a.s memerintah Bani Israil, Bani Israil dikurniakan dengan makanan mewah manna dan salwa berkat doa Nabi Musa a.s dan bukannya berpada dengan makan bawang, timun dan sebagainya.

Ketika Nabi Yusuf a.s memerintah Mesir, kecekapan Baginda a.s menguruskan kewangan Mesir bukan sahaja menyelamatkan Mesir daripada kebuluran tetapi sehingga Bumi Syam dan Palestine

Semua kisah ini Allah ceritakan dalam
al Quran untuk menunjukkan kehebatan dan kecerdikan sebenar seorang politikus Islam.

Hatta Rasulullah s.a.w juga berkat kehebatan pimpinannya telah berjaya mentransformasikan Yathrib yang miskin, penuh waba, berpecah belah, dan penuh masalah sosial kepada Madinah Al Munawwarah yang makmur, sentosa, aman yang akhirnya menjadi pusat kerajaan yang menumbangkan Rom dan Parsi dimana setiap
rakyatnya menjadi kaya dengan ghanimah.

Kesimpulannya, satu bukti sebuah kerajaan Islam
yang sejati ialah ianya mampu membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada negara yang dipimpinnya. Jika sebaliknya, maka kita sepatutnya bertanya dimana silap kita….

KRITIK KERAJAAN BUKAN JATUHKAN KERAJAAN

Mengkritik atau menasihati kerajaan atau pemimpin adalah termasuk dalam kategori amar maaruf nahi mungkar yang tinggi maqamnya.

Walaubagaimanapun, pada masa yang sama bercita-cita menjatuhkan kerajaan atas kesilapan kerajaan adalah satu kejahilan yang boleh membawa malapetaka yang besar.

Ada sebabnya banyak ulama muktabar zaman silam agak tegas menuntut ketaatan kepada pemimpin selagi mana kezaliman pemerintah boleh ditoleransi.

Saya secara peribadi berasakan kerajaan PN telah melampaui batas dalam beberapa perkara. Namun ianya masih tidak mewajarkan kerajaan ini dijatuhkan. Saya lebih suka, biarkanlah mereka habiskan tempoh pemerintahan sehingga pilihanraya seterusnya dan kemudian jika rakyat mahu tukarlah kerajaan pada waktu itu.

Ini adalah pendirian saya sewaktu PH memerintah dan BN memerintah. Tindakan mengguling kerajaan secara semberono adalah memudaratkan negara, menghancurkan kestabilan politik, menghuru harakan kehidupan rakyat dan menjahanamkan ekonomi negara.

Mempunyai kerajaan yang kurang adil adalah lebih baik daripada mempunyai kerajaan yang lemah kerana kerajaan kurang adil boleh kita tegur. Manakala kerajaan yang lemah akan menjadi bahan mainan semua pihak terutamanya musuh di luar dan pengkhianat di dalam.

Kegelojohan kita dalam menjatuhkan kerajaan akhirnya boleh menyebabkan negara ini berada dalam kancah pergolakan yang tidak berkesudahan yang merugikan semua pihak.

DOSA DAN CINTA

Wahai Tuhan
Apabila mengenang dosaku,
Aku ingin bunuh diriku,
Supaya aku tidak derhaka lagi padaMu,
Kalau tidak kerna cintaMu pada ku,
Lebih dari aku mencintai diri ku sendiri,
Sudah pasti kematian lebihku suka

Wahai Tuhan,
Apabila mengenang dosaku,
Aku hampir pasti,
Nerakalah destinasiku,
Kalau tidak kerna cintaMu pada ku,
Lebih dari aku mencintai diri ku sendiri,
Sudah pasti aku sudah putus asa

Wahai Tuhan,
Apabila mengenang dosaku,
Aku malu bertemu kekasihMu,
Menagih syafaat melepas diri,
Kalau tidak kerna cintaMu pada ku,
Lebih dari aku mencintai diri ku sendiri,
Sudah pasti aku buntu menjadi gila

Wahai Tuhan,
Apa yang ku pohon
Hanyalah keampunanMu,
Supaya Kau tersenyum,
Apabila kita bertemu
Kerana yang ku damba
Hanya cintaMu

BUKAN MALAIKAT YANG DIUTUS

“Kenapa manusia yang akan membawa bencana dan menumpahkan darah dilantik sebaga Khalifah bumi? “ tertanya-tanya para Malaikat. Bukan mempertikaikan keputusan Allah s.w.t tetapi sifat ingin tahu mengusai para Malaikat.

“ Lebih-lebih lagi, kami ini sentiasa bertasbih memujiMu dan mensucikanMu”.

Jadi apa yang hebat sangat manusia ini. Kalau ditanya pada iblis, lagi dipandang rendah manusia ini. Diperbuat daripada tanah tanah yang busuk, melekit dan gelap. Apatah lagi jika dibanding dengan malaikat yang dibuat cahaya dan Iblis yang dibuat daripada api. Kedua-duanya elemen menerangkan yang gelap.

Maka Allah s.w.t pun mengajar Adam nama-nama dan kegunaanya. Itulah kehebatan manusia. Terletak pada kemampuan akalnya untuk belajar ilmu.

Manusia tidak ada kapasiti beribadat dan berzikir sehebat malaikat. Allah s.w.t juga tidak membuktikan kehebatan manusia dengan menunjukkan kesolehan manusia. Allah s.w.t menonjolkan kehebatan manusia pada kesempurnaan akalnya.

Kemudian Adam a.s pun tergelincir dan diturunkan ke bumi. Allah s.w.t menasihatkan Adam a.s dan warisnya , jika datang kepadamu petunjukKu dan kamu mengikutinya nescaya tidak perlu takut dan sedih.

Maka setiap kali manusia tergelincir dan sesat, Allah s.w.t pun menurunkan petunjukNya. Petunjuk ini datang dalam bentuk Rasul dan Kitab. Untuk ummat ini Al-Quran dan Sunnah.

Sering kali manusia bertanya, kenapa Rasul dan Kitab. Kenapa tidak diturunkan sahaja batallion malaikat yang memaksa manusia tunduk dan sujud kepada Allah Rabbul Jalal. Bukankah lebih mudah manusia beriman dengan melihat Keperkasaan Allah jika malaikat yang diturunkan untuk menuntut pengabdian manusia.

Jawapannya adalah kerana manusia adalah makhluk yang berakal. Kita bukan binatang yang perlu dicucuk hidung untuk dituntut ketaatan daripada kita. Allah s.w.t mengurniakan akal kepada kita untuk melihat dan mengkaji petunjuk yang diberikan kepada kita. Kita juga diberi pilihan untuk mengikut petunjuk tersebut ataupun tidak.

Petunjuk Allah s.w.t datang dengan hujjah dan dalil. Al-Quran datang dengan cabaran untuk manusia menggunakan akalnya. Al-Quran datang dengan membawa hujjah yang membungkamkan pengkritiknya.

Al-Quran tidak gentar dengan cabaran akal manusia malah bersedia menjawab dan membalas setiap persoalan yang menghantui manusia. Syaratnya satu sahaja, gunakan akal dengan adil untuk mencerna apa yang disampaikan oleh Al Quran. Nescaya manusia akan mendapat petunjuk.

Al-Quran mengajar kita jangan menerima apa-apa sekalipun tanpa hujjah dan dalil. Maka Al-Quran sendiri datang dengan hujjah dan dalil. Al-Quran tidak menuntut kita menerimanya dengan taklid malah cabaran demi cabaran dilemparkan untuk manusia memikirkan kalam Allah yang Maha Sempurna itu.

Begitulah Allah s.w.t memuliakan akal manusia.

Namun hari ini, betapa banyak agamawan, pendakwah, ahli politik, pejuang agama yang menuntut taklid buta daripada kita. Kata mereka jangan dicabar. Dituduhnya kita sebagai liberalis, dituduhnya kita munafik, dituduhnya kita sesat.

Apabila malaikat sendiri bertanya kepada Allah s.w.t hikmah penciptaan manusia, dan Allah s.w.t sendiri menjawab soalan para Malaikat dengan dalil dan hujjah pembuktian dengan menunjukkan kehebatan Adam, maka bayangkanlah kesombongan manusia ini yang cuba mendiamkan soalan dengan nama agama.

Para agamawan ini sering mengingatkan kita bahawa “ulama itu dagingnya beracun” atau “beradab dengan guru” apabila kita tidak bersetuju dengan mereka.

Ya akhi,

Malaikat pun bertanya soalan kepada Allah dan Allah s.w.t tidak pernah menuduh para malaikat kurang ajar kepada Allah s.w.t, Pemilik segala kemuliaan.

Jika Allah s.w.t menggunakan dalil untuk meyakinkan manusia, dari mana datangnya kesombongan kamu untuk menuntut kepatuhan buta daripada sekalian manusia.

Alangkah buruknya kesombongan manusia itu.

Ya, betul. Kita kena beradab dengan ulama. Ulama ini adalah guru-guru kita. Maka sewajarnya kita meghormati guru.

Pada masa yang sama , guru juga mempunyai peranan menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh anak muridnya. Guru sewajarnya mengalakkan anak murid bertanya soalan. Malah guru haruslah menunjukkan adab dengan berani mengakui kesalahannya jika pendapatnya ditegur anak murid dan terbukti kesalahannya.

Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik guru. Baca sahaja asbabul nuzul Surah al Mujadila apabila Khaulah binti Tsa’labah mempersoalkan denda yang dikenakan kepada suaminya kerana menziharkan isterinya hingga akhirnya Allah s.w.t sendiri menurunkan satu surah khusus untuk menjawab kerungsingan wanita tersebut.

Tidak pula Allah dan Rasulnya menuduh wanita tersebut derhaka kepada Rasulullah s.a.w kerana menyoal Baginda s.a.w .

Semoga kita semua bermuhasabah…..

KES IKI PUTRA: DIMANA KITA TERSALAH ARAH?

Terus-terang saya langsung tidak terkesan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa kerajaan negeri tidak ada bidang kuasa merangka undang-undang untuk menghukum satu perbuatan yang sudah dianggap jenayah dalam bidang sivil.

Perbuatan homoseksual masih merupakan perbuatan jenayah dalam negara ini. Malah hukuman untuk jenayah homoseksualiti di mahkamah Sivil adalah lebih berat dari Mahkamah Syariah negara ini.

Jadi di mana masalahnya?

Masalahnya bukan pada keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut. Masalahnya adalah pada Iki Putra itu sendiri.

Masalahnya apabila jenayah homoseksualiti telah menjadi biasa dalam masyarakat ini sehingga kita lebih marah dan terkilan kerana Mahkamah Syariah dicabar sedangkan jenayah homoseksualiti itu yang lebih patut merungsingkan kita.

Jangan salah faham. Saya tidak menuntut supaya Iki Putra dihukum sekeras-kerasnya untuk perbuatan homoseksualitinya (jika benar tuduhan tersebut). Saya tidak teruja untuk menghukum Iki Putra dengan mencontohi Rasulullah s.a.w yang juga tidak teruja untuk menghukum mereka-mereka yang datang mengakui perbuatan zina mereka kepada Baginda s.a.w.

Kita tidak boleh menafikan masalah zina, rogol, sumbang mahram dan homoseksualiti sudah berleluasa dalam masyarakat kita. Masalah ini tidak akan hilang sekelip mata dengan memperkasakan Mahkamah Syariah atau memberatkan hukuman.

Hukuman bunuh dan rejam sekalipun tidak akan mampu menghalang mereka yang ingin melakukan jenayah ini.

Malah jika jenayah menjadi semakin berleluasa, sesuatu jenayah boleh menjadi norma masyarakat sebagaimana yang telah berlaku di negara-negara barat. Apabila ianya telah menjadi norma masyarakat, pada waktu itu Mahkamah Syariah pun akan menjadi gajah putih.

Tidak keterlaluan kalau saya katakan untuk hancurkan Mahkamah Syariah tidak perlu pinda Perlembagaan, memadai dengan menormalkan perbuatan maksiat yang menghancurkan masyarakat.

Bagi saya masalah jenayah yang berleluasa ini adalah satu indikasi jelas masalah akidah yang amat parah. Apabila manusia sudah tidak takut tuhan, sudah kabur kepercayaannya pada agama, semua jenayah dan maksiat menjadi halal dan sunnah kepadanya.

Oleh itu yang kita perlukan sekarang bukan perjuangan RU 355 atau hudud atau memperkasakan Mahkamah Syariah. Sebaliknya adalah perjuangan untuk memulihkan dan memperkukuhkan akidah anak-anak generasi seterusnya. Ini hanya boleh dilakukan dengan perjuangan pendidikan dan dakwah.

Betul, perjuangan ini tidak menghairahkan sebagaimana perjuangan jalanan RU 355 tetapi perjuangan inilah yang kita perlukan.

Jika satu hari kita telah berjaya melahirkan generasi rabbani, pada waktu itu, kita sudah tidak perlukan perubahan perlembagaan untuk melaksanakan syariah Islam di negara ini. Kerana syariah itu sudah terlaksana di peringkat individu, keluarga dan seterusnya masyarakat.

Begitulah Rasulullah s.a.w membentuk generasi para sahabat dan begitulah kita harus cuba membentuk generasi penerus kita.

Semoga Allah s.w.t terus selamatkan dan memberkati bumi Malaysia tercinta ini……

ISMAIL, ISHAK DAN SEJARAH TINGKATAN 4

Kalau ada sesiapa yang mendakwa bahawa anak yang sebenarnya dikorbankan oleh Nabi Ibrahim a.s ialah Nabi Ishak a.s dan bukannya Nabi Ismail a.s, mungkin ramai antara kita yang terkejut dan beranggapan dakwaan tersebut adalah sesat dan merupakan percubaan untuk menyimpang dari sejarah.

Hari ini telah seolah-olah telah ijma sepakat bahawa anak yang dirujuk oleh Allah dalam surah As-saffat itu ialah Ismail. Menariknya Allah s.w.t tidak menamakan atau memberi indikasi siapakah anak yang dikorbankan itu. Malah tidak wujud juga hadith yang menunjukkan siapa anak tersebut.

Namun dalam kisah Israilliyyat, anak yang dirujuk tersebut ialah Nabi Ishak a.s. Dalam generasi awal, dari zaman sahabat sehingga beberapa abad kemudiannya, pendapat bahawa anak yang dikorbankan itu ialah Nabi Ishak a.s lebih ramai pengikutnya berbanding pendapat ianya adalah Nabi Ismail a.s. Perdebatan kedua-dua pendapat ini boleh dirujuk dalam Tafsir Al-razi dan juga Tafsir Tabari.

Namun perubahan besar berlaku dalam ummat dimana ummat hampir sepakat bahawa ianya adalah Nabi Ismail a.s adalah hasil perjuangan Ibnu Taimiyyah dan dua anak muridnya Ibnu Qayyim dan Ibnu Katsir. Ibnu Taimiyyah telah menolak keras pendapat bahawa ianya adalah Nabi Ishak atas dasar ianya adalah riwayat Israilliyat. Ibnu Katsir juga secara tegas telah memperkukuhkan hujjah ini lagi dalam Kitab Tafsir beliau.

Hari ini ummat hampir terlupa bahawa pernah wujud pendapat yang lebih kuat bahawa Nabi Ishak yang dikorbankan tersebut. Sejarah yang dilupakan akibat kekuatan perspektif yang berbeza.

Begitulah sejarah ditinta.

Sejarah adalah perspektif penulisnya. Penulis pula menulis dari perspektif politik, sosio-ekonomi, dan pandangan alamnya. Maka fakta yang sama boleh membawa perspektif sejarah yang berbeza.

Saya masih ingat lagi filem Sarjan Hassan lakonan dan arahan P. Ramlee, dimana ada satu watak Buang, seorang lelaki Melayu yang mejadi agen Kempeitai di zaman Jepun. Mungkin kalau filem itu difilemkan sekarang, ianya akan diboikot atas arahan memalukan orang Melayu.

Saya tidak tahu samada betul atau tidak orang Melayu ada dilantik menjadi polis di zaman Jepun untuk melawan komunis. Jika fakta itu salah, sewajarnya dikeluarkan. Namun jika ianya betul, tidak wajar ianya dikeluarkan semata-mata kerana ianya kononnya mengaibkan orang Melayu atau mengagungkan orang Cina.Bukan semua Melayu menjadi menjadi polis Jepun dan bukan semua Cina menjadi askar komunis.

Jika benar, ada Melayu pernah menjadi polis Jepun menganiya orang Cina, maka perbuatan tersebut juga sewajarnya dicela sebagaimana perbuatan komunis membunuh orang Melayu semasa zaman kegelapan komunis beberapa dekad dahulu.

Keberanian untuk menjengah sejarah silam yang gelap akan memberi kebijaksaan kepada kita untuk menjadikannya sebagai pengajaran tauladan dan sempadan kepada generasi kemudian.

Bukankah itu peranan sejarah. Bukan setakat menjadi alat propaganda ahli politik….

DIMANA ISLAM DALAM ISLAMIK?

Sejak Islam mula menjadi alat pelaris, kita lihat banyaknya pertumbuhan pelbagai perniagaaan, industri, organisasi dan  pemerintahan yang menggunakan perkataan Islam pada nama mereka.

Ada bank Islam, sekolah Islam, parti Islam, kerajaan Islam, negara Islam, hospital Islam, peguam Islam, persatuan islam, pengguna Islam dan pelbagai Islam yang lain.

Atas  apakah mereka yakin bahawa semua entiti ini adalah Islam. Apakah kriteria bagi sesebuah  organisasi menjadi Islam?

Bagi orang Islam, kita tahu mereka adalah yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Namun bagaimana kita hendak tahu samada sebuah negara itu Islam, atau sebuah persatuan itu Islam?

Cukupkah sekadar meletakkan nama entiti itu ada perkataan Islam untuk menjadikannya Islamik? Bagaimana pula yang menonjolkan keislaman entiti perniagaan mereka dengan menggunakan perkataan Arab seperti takaful, arqam, ikhlas, ikhwan dan sebagainya?

Lebih memeningkan apabila yang bukan Islam juga sudah mula mengadapatsikan taktik nama “Islamik” ini kepada perniagaan mereka untuk menarik pelanggan Islam.

Bagaimana jika institut kewangan  yang  menggunakan nama Islam dan menjual produknya dengan penuh dengan unsur penipuan dan penindasan tetapi dijustifikasikan dengan nama Arab yang “syariah compliance”?

Bagaimana jika yang menjual produk makanan sunnah, tetapi produknya penuh dengan bahan kimia yang berbahaya demi mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan?

Bagaimana jika mendabik dada mendakwa  perniagaan Islam, tetapi enggan bayar gaji dan KWSP pekerja-pekerja mereka yang miskin?

Bagaimana yang membuka hospital Islam, tetapi memberi pemeriksaan kesihatan atau rawatan yang tidak perlu kepada pesakit supaya boleh mengenakan caj yang maksimum kepada syarikat insurans?

Bagaimana jika syarikat insurans Islam  yang sepatutnya mejadi platform orang Islam saling membantu namun menjadi platform si kapitalis mengaut keuntungan atas angin?

Bagaimana jika parti Islam yang memperjuangkan Islam dan orang Islam, sanggup menyebarkan fitnah dan mengadu domba demi memenangi pilihan raya?

Bagaimana jika negara Islam yang melaksanakan hudud, namun mempunyai set undang-undang yang berbeza antara aristokrat dengan marhain?

Bagaiamana jika persatuan Islam yang melaungkan perjuangan Islam dan teori konspirasi, menciluk wang derma yang diamanahkan kepada mereka?

Lalu, dimanakan Islam dalam Islamik mereka??!!

DIMANA KEINDAHAN SABAR

Love is beautiful. Frasa ini biasa kita dengar. Kita tidak perlu bingung memikirkan maknanya. Sememangnya cinta itu indah. Ia membuatkan perasaan kita berbunga-bunga. Kita mampu tersenyum seorang dengan keindahan cinta. Kita mampu bahagia dengan cinta. Ya, kadang-kadang cinta itu menyakitkan namun hasilnya menenangkan.

Namun Allah Azza Wa Jalla pula telah mengilhamkan seorang Nabi untuk mengatakan sabar itu indah dan kemudian mengabadikannya dalam Al Quran. Assabrun Jamil. Kita pun selalu dengar para muslimin mengulang mutiara kata ini berulang kali apabila ditempuh ujian dan dugaan.

Namun dimanakah keindahan sebuah kesabaran? Sabar berbeza dengan cinta. Sabar ini satu yang kadang-kadang menyakitkan. Sabar memerlukan kita menahan gelora hati yang membara. Sabar menuntut ketahanan kita kepada kesakitan. Sabar harganya mahal, ia mendambakan pergorbanan.

Malah jika kita tidak sabar, mungkin hasilnya lebih mengembirakan. Jika ada yang bersifat kurang ajar kepada kita sehingga menimbulkan kemarahan kita, bukankah pada waktu itu lebih indah jika kita tidak sabar malah sebaliknya melepaskan kemarahan kita pada yang kurang ajar itu. Kita akan rasa puas hati dan gembira.

Malah jika kita rasa sakit, bukankah lebih mudah kita menghilangkan kesakitan itu dengan memabukkan diri kita atau membunuh diri yang boleh menghilangkan kesakitan kita sekelip mata.

Jadi di manakah keindahan kesabaran itu? Adakah ianya retorik semata-mata untuk menyedapkan bahasa? Sudah tentu Maha Suci Allah dari membuat sesuatu yang sia-sia.

Sabar itu indah adalah satu frasa yang diutarakan oleh Nabi Allah Yaakob a.s apabila anak-anak baginda kembali membawa baju Yusuf a.s yang berlumuran darah dan mendakwa Yusuf a.s telah dibaham serigala.

Nabi Allah Yaakob a.s tahu anak-anaknya itu berbohong kerana pincangnya cerita yang dibawa oleh anak-anak tersebut. Lebih-lebih lagi Yusuf a.s telah menceritakan kepada bapanya mimpi Yusuf bahawa matahari, bulan dan bintang akan bersujud kepada Yusuf yang menandakan masa depan Yusuf a.s yang cerah dan gemilang yang membuktikan bahawa Yusuf a.s masih hidup lagi. Nabi Yaacob juga sedia maklum akan kedengkian abang-abang Yusuf terhadap Yusuf a.s sehingga mereka sanggup membuat satu kejahatan yang maha kejam terhadap Yusuf a.s

Sebagai seorang bapa yang merupakan seorang Nabi pula, sudah tentu Yaacob a.s mampu mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap anak-anaknya itu. Baginda boleh menghalau keluar anak-anak itu dari rumahnya. Baginda boleh mendoa laknat anak-anak tersebut. Baginda boleh menghukum anak-anak tersebut.

Sebaliknya beliau hanya mengucapkan bahawa sabar itu indah dan mengadu kepada Allah s.w.t. Adakah ini bermaksud rasa marah dan sedih baginda sudah hilang kerana kesabaran Baginda?

Jawapannya tidak. Baginda telah terus rasa marah kepada anak-anaknya yang jahat dan rasa sedih atas kehilangan Yusuf a.s Buktinya Baginda telah terus menangis merindui Yusuf a.s sehingga buta mata Baginda a.s. Buktinya anak-anaknya enggan balik selepas Benjamin ditahan oleh Yusuf a.s di Mesir kerana bimbang dengan kemarahan ayah mereka. Jadi di mana kesabaran Yaacob a.s?

Sabar tidak bermaksud tiada rasa rasa marah, sedih, sakit atau gelisah atau apa-apa perasaan negatif. Sebaliknya sabar bermaksud iman, taqwa dan akhlak memainkan peranan utama ketika perasaan negatif itu bergelojak. Pada waktu itu tindakan kita bukanlah berdasarkan perasaan negatif tersebut sebaliknya iman, taqwa dan akhlak memainkan peranan utama dalam menentukan tindakan yang diambil ketika timbul perasaan negatif tersebut. Itulah sabar.

Sebab itu walaupun kemarahan dan kesedihan Nabi Yaakob membara kepada anak-anaknya yang derhaka itu, Baginda masih meletakkan iman, taqwa dan akhlak sebagai tonggak dalam membuat keputusan. Baginda tidak berputus asa terhadap anak-anak baginda, baginda tidak memutuskan hubungan silaturrahim dengan anak-anak Baginda, baginda tidak melepaskan kata-kata yang boleh melukakan hati anak-anaknya.

Pada waktu krisis emosi negatif itu pun, baginda masih taat dan takut kepada Allah s.w.t dan tidak bertindak melampui batas. Maka di situlah keindahan akhlak seorang Muslim terserlah.

Keindahan sabar ini tidak akan dapat dinikmati daripada perspektif dunia. Namun dari segi persepektif akhirat, kesabaran ini adalah satu yang sangat indah kerana ianya hanya akan dicapai apabila seorang Muslim telah berjaya menundukkan emosi negatifnya demi mencapai keredhaan-Nya.

Inilah yang berlaku apabila Allah menurunkan surah Al-Fath yang mengistiharkan kejayaan Rasulullah s.a.w dalam dakwahnya apabila dengan hasil didikannya, para sahabat berjaya menundukkan kemarahan dan kesakitan hati mereka apabila cita-cita dan harapan mereka untuk menunaikan Haji terpaksa ditunda ke tahun hadapan akibat Perjanjiaan Hudaibiyyah demi mematuhi perintah Allah dan rasul-Nya.

Keindahan sabar ini juga kerana ia membawa berkat dan rahmat Allah dalam keputusan yang kita buat tersebut. Dalam kisah Nabi Yaacob dan Nabi Yusuf a.s ini, berkat kesabaran kedua mereka dalam menghadapi kerenah 10 saudara Yusuf ini, akhirnya membangkitkan kekesalan dalam hati 10 saudara Yusuf tersebut. Akhirnya mereka bertaubat dan telah diampunkan oleh Allah s.w.t dan juga oleh Nabi Yaacob dan Nabi Yusuf a.s. Malah dari keturunan mereka telah lahir beberapa Nabi dan Rasul yang agung .

Itula berkat sebuah sebuah sabar. Itulah nasihat Allah s.w.t menurunkankan surah Yusuf kepada Nabi kita s.a.w supaya Baginda juga bersabar dengan kerenah saudara-saudaranya di Bani Quraisy yang sentiasa menyakiti Baginda.

Berkat kesabaran Baginda s.aw jugalah akhirnya kaum Quraisy telah tunduk dan taat kepada Islam dan akhirnya Islam memancarkan cahayanya ke seluruh dunia menjadi rahmatan lil alamin.

Itulah keindahan sabar.