LEGASI SEORANG BAPA

Kami anak yatim. Bapa kami meninggal waktu saya berusia 9 tahun dan adik adik saya masing berusia 8 dan 6 tahun. Banyak perkara yang kami tidak ingat mengenai bapa saya. Namun bapa kami memainkan peranan penting dalam pendidikan kami walaupun setelah dia meninggal dunia.

Bagi anak yang kehilangan bapanya , perkara yang paling kami kehilangan ialah seorang “role model”. Di pandangan anak , bapa adalah orang yang paling hebat dalam sesebuah rumah tangga. Dia manusia yang paling karismatik, paling bijak, paling gagah, dan paling dihormati . Jadi bagi anak biasanya mereka akan contohi bapa mereka. Sebagai anak yatim, kami tiada peluang untuk mencontohi secara langsung bapa kami. Namun, pengaruh bapa kami terus mendidik kami dari alam barzakh.

Bapa kami seorang lelaki yang baik dan soleh. Itulah apa yang kami diberitahu sejak kami kecil. Bapa kami berasal dari Kerala, India. Dia berkahwin dengan ibu kami ketika beliau berusia 50 tahun. Dia mempunyai isteri pertamanya di India dimana dia dikurniakan 3 anak lelaki daripada perkahwinan tersebut namun ketiga-tiga anak ini meninggal dunia ketika bayi lagi.

Bapa kami juga adalah anak sulung dan dia telah datang ke Tanah Melayu pada sekitar 50-an untuk menanggung keluarganya dan dia telah menjalankan perniagaan restoran. Hasil keuntungan perniagaannya dia telah mengahwinkan adik-adik perempuannya dan telah menanggung pelajaran adik adik lelakinya. Bila kami balik ke India melawat adik adiknya di India , kami masih dapat lihat betapa hormat dan sayangnya mereka kepada bapa saya.

Pada tahun 60-an, kampung bapa saya telah dilanda kemarau. Bapa saya menanggung orang kampungnya pada waktu itu. Bapa saya telah membina masjid dan surau di kampungnya. Ini adalah sadaqah jariah bagi beliau.

Namun yang menjadikan bapa kami sedih ialah dia tidak mempunyai anak untuk mendoakan dia selepas kematiannya. Maka pada ketika dia berusia 50-an , dia telah berkahwin dengan ibu kami dan dikurniakan dengan tiga orang anak lelaki.

Ibu kami tidak berasal dari keluarga yang kuat agamanya. Manakala bapa kami adalah seorang lelaki yang amat tegas dalam agamanya. Ibu kami pernah dimarahi kerana tidur sebelum solat Isyak. Keluarga ibu kami mula mengenali solat selepas ibu kami berkahwin dengan bapa kami.

Ibu kami selalu ceritakan kepada kami bahawa bapa kami sering menangis dalam solat dia. Ibu kami pernah melihat bapa kami menangis dimarahi ibunya ketika mereka  balik ke India melawat ibunya. Malah bapa kami  sering mewasiatkan kepada ibu kami bahawa anak anaknya mesti ditegaskan dengan solat. Maka ibu kami sering berkata bahawa dia tidak peduli dengan akademik kami. Yang penting kami jaga solat.

Cerita cerita sebegini sering diceritakan kepada kami sejak kami kecil lagi. Ianya diceritkan kepada kami oleh ibu kami, kaum keluarga kami, kawan kawan bapa kami, pekerja-pekerja bapa kami , jiran jiran kami. Walaupun kami tidak diberi peluang untuk menyaksikan kebaikan bapa kami secara langsung, namun kami dididik oleh cerita cerita ini.

Malah kami adik beradik pada asalnya sangat bimbang jika kami menyebabkan nama baik bapa kami terjejas. Maka kami amat berhati hati dalam pergaulan kami. Kemudiannya bila meningkat remaja, kami mahu menjadi seperti bapa kami. Maka kami menuntut ilmu agama walaupun kami tidak bersekolah agama. Kini kami mahu menjadi lebih baik daripada ayah kami. Supaya bila kami bertemu kembali satu hari nanti, bapa kami bangga kepada kami sebagaimana kami bangga kepadanya pada hari ini.

Saya tidak menceritakan perkara ini untuk menunjukkan kehebatan bapa kami. Malah menceritakan mengenai bapa saya adalah  perkara yang sangat sukar bagi saya. Maka saya jarang bercerita mengenai beliau kepada sesiapa walaupun pada isteri saya.

Namun saya terpanggil untuk bercerita kerana saya lihat ramai yang memandang enteng peranan seorang bapa. Sebahagian bapa memang bertanggungjawab memberi nafkah tetapi gagal menjadi seorang role model bagi anaknya.  Adalah penting  untuk mendidik anak anak , kita harus mendidik diri dahulu.

Sesungguhnya benarlah apa yang Allah katakan bahawa cara didikan yang terbaik ialah dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik. Dimana penonton kita yang terulung ialah anak anak kita sendiri. Semoga dengan mencontohi kita, mereka akan menjadi contoh yang baik bagi cucu cicit kita pula.

 

 

 

 

 

 

 

 

FIQH KESESATAN

Banyak orang yang berbicara mengenai fiqh dan syariah namun tidak banyak yang tahu perbezaan antara keduanya. Memahami perbezaan ini adalah amat penting dan merupakan asas kepada pengetahuan fiqh dan syariah secara keseluruhannya.  Kegagalan memahami fiqh dan syariah secara betul adalah satu satu punca yang mengakibatkan pergolakan antara Muslimin samada sesama bijak pandai mahupun orang awam. Ketidakmampuan untuk membezakan antara fiqh dan syariah boleh menyemarakan budaya kafir mengkafirkan, bidaah membidaahkan serta permusuhan sesama kita.

Penulisan ini tidak akan membincangkan definasi fiqh dan syariah secara teknikal, akdemik mahupun ilmiah. Sebaliknya ia akan menghuraikan pemahaman fiqh dan syariah dalam kaca mata orang awam.

Allah s.w.t menurunkan Al Quran dan mengutuskan Rasulullah s.a.w untuk mengajar Al Quran kepada kita . Ajaran Rasulullah s.a.w itulah sunnah dan hadith. Maka adalah mustahil untuk kita memahami Al Quran secara sempurna tanpa merujuk penafsirannya kepada Rasulullah s.a.w walaupun ada sekumpulan manusia di Malaysia yang menggelar diri mereka sebagai Quraniyyun yang berhujah bahawa Sunnah sudah tidak relevan pada zaman ini. Namun itu adalah satu topik lain untuk dibicarakan pada waktu lain.

Al Quran bukanlah satu kitab undang undang walaupun ianya ada menyenaraikan halal dan haram. Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Mengetahui boleh sahaja menurunkan satu kitab yang lengkap dengan kesemua hukum dari sebesar besar undang undang sehingga sekecil kecil undang undang. Dari undang undang perlembagaan sehingga peraturan jalan raya. Namun Ar Rahman tidak berbuat begitu. Ar Rahman hanya telah menurunkan beberapa hukum dalam beberapa perkara secara terperinci seperti dalam masalah pewarisan tetapi dalam kebanyakan perkara Allah s.w.t  mendiamkan diri. Ini adalah rahmat Ar Rahman kepada mahklukNya.

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan kewajipan , maka janganlah kamu menyia-yiakannya, menetapkan yang haram, maka janganlah kamu melanggarnya, dan menetapkan batasan, maka janganlah kamu melampaui batasannya. Dia diam terhadap sesuatu kerana kasih sayang-Nya pada kamu, bukan kerana lupa, maka janganlah kamu mencari-carinya.” (Hadith Riwayat Ad- Daraquthni dan disahihkan oleh Inbu Hajar dalam Al Mathalib al Aliyah , 2909)

 

As Sunnah juga dalam menerangkan Al Quran  dan juga tidak  memberikan hukum sebanyak mana. As Sunnah juga kebanyakkan hanya memberi hukum hukum kepada permasalahan yang timbul pada zaman hidupnya Rasulullah s.a.w.

Walaubagaimanapun apa yang telah jelas termaktub dalam Al Quran dan Sunnah yang tiada kekeliruan dalam pemahamannya ini adalah dinamakan syariah. Syariah ini tidak boleh dibatalkan dan tetap kekal relevan sepanjang zaman.  Contohnya kewajipan solat, zakat , puasa dan sebagainya serta pengharaman arak, zina, riba dan sebagainya.

Al Quran dan Sunnah walaubagaimanapun  ini banyak memberikan panduan panduan dalam memahami agama ini.

Namun masalah mula timbul selepasa kewafatan Baginda Rasulullah s.a.w dimana apabila banyak yang mula memeluk Islam dan  kerajaan Islam mula bertambah luas, maka berlaku pertembungan budaya, pemikiran dan gaya hidup dengan penduduk penduduk kawasan yang baru diterokai terutamanya dari Empayar Rom dan Parsi.

Ini menimbulkan konflik memandangkan Rasulullah s.a.w sudah tiada untuk menjawab isu isu baru ini dan Al Quran juga sudah tidak diturunkan lagi oleh Allah s.w.t untuk mengajar ummat ini.

Maka disinilah fiqh bermula. Fiqh secara kasarnya boleh difahami sebagai “pemahaman agama”.  Pemahaman agama Utsman r.a berbeza dengan pemahaman Abu Dzar r.a. Pemahaman agama Abu Darda berbeza dengan pemahaman agama Salman Al Farisi. Pemahaman Ibnu Masúd berbeza dengan pemahaman Ibnu Umar. Padahal kesemua mereka menggunakan hukum syarak yang sama,malah  dibimbing oleh mahaguru yang sama iaitu Rasulullah s.a.w. Namun Rasulullah telah menerapkan bahawa pemahaman agama yang berbeza ini bukanlah satu isu yang besar dan ianya boleh diatasi jika kita saling sayang menyayangi satu sama lain.

Dengan menggunakan pemahaman agama ini, satu demi satu isu isu yang timbul dapat diatasi oleh ummat Islam. Peperangan Riddah dimulakan oleh Saidina Abu Bakar kerana pemahaman agamanya memutuskan bahawa orang yang tidak bayar zakat wajib diperangi walaupun pemahaman agama Umar r.a awalnya tidak begitu. Pembukuan Al Quran dicadangkan oleh Umar Al Khattab melalui pemahaman agamanya walaupun Saidina Abu Bakar r.a mulanya bimbang dengan cadangan itu kerana takut melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

Pemahaman agama ini secara kasarnya boleh dibahagikan kepada dua iaitu secara literal dan keduanya secara maqasid. Kedua-duanya dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w. Kesemua mazhab pada zaman ini telah menerima kedua dua methodologi dalam mengeluarkan ijtihad mengikut pemahaman agama mereka. Namun satu waktu dahulu ada satu mazhab yang diiktiraf sebagai Ahlu Sunnah wal Jamaah juga yang hanya mengiktiraf pemahaman agama secara literal iaitu mazhab Zahiri. Namun mazhab ini sudah tidak wujud sekarang.

Pemahaman literal secara ringkasnya boleh difahami bahawa apa sahaja yang Al Quran dan Sunnah katakan kita fahami dan amalkan secara harfiah. Jika Allah dan RasulNya katakan A, maka A lah yang kita faham dan buat. Biasanya dalam pelaksanaan syariat, kita akan mengikut pemahaman literal. Kita solat sebagaimana yang Nabi solat. Kita faham zina itu haram sebagaimana yang Allah dan Nabi kata haram. Kalau kita ikut pemahaman literal sahaja, maka tidak ada proses ijtihad. Malah hukum perundangan Islam kaku dan sama sepanjang zaman. Dadah, rokok, pornografi dan sebagainya tidak akan dapat diharamkan kerana Allah dan RasulNya tidak mengharamkan perkara perkara tersebut secara spesifik. Manakala ibadah solat, puasa , zakat akan menimbulkan kesukaran yang melampau kepada ummat Islam di sesetengah kawasan yang amat berbeza dengan zaman Rasulullah. Ini akan menimbulkan fitnah yang dasyhat kepada agama ini sedangkan agama ini adalah satu agama yang relevan sepanjang zaman dan waktu. Maka pemahaman literal ini diterima pakai oleh kebanyakan ulama malah diutamakan oleh para ulama kecuali jika ianya menimbulkan kezaliman atau menimbulkan kesukaran yang melampau kepada ummat ini.

Manakala pemahaman maqasid pula lebih kepada memahami tujuan dan maksud sebenar sesuatu hukum itu diturunkan. Untuk memahami tujuan dan maksud sebenar sesuatu hukum, maka kajian, penyiasatan dan pemikiran yang jitu mesti dilaksanakan untuk memastikan maksud dan tujuan sebenar hukum tersebut dicapai. Proses ini dimanakan ijtihad .Maka disinilah muncul naskh mansukh, qiyas, istihsan, maslahah mursalah,urf, istishab, sadd al-Dharai dan sebagainya.

Namun oleh kerana pemahaman agama ini adalah satu proses ijtihad, maka pemahaman agama ini tidak boleh dipaksakan kepada individu lain kecuali jika ianya telah dipersetujui secara ijma (consensus) dikalangan semua bijak pandai ummat ini. Namun pemahaman agama yang berbeza menyukarkan wujudnya ijma.

Jesteru harus difahami tidak wujud pemahaman agama yang betul kerana tidak ada pemahaman agama yang telah diendorskan oleh Allah dan RasulNya . Namun usaha untuk mendapatkan pemahaman agama yang terbaik ini adalah satu usahan yang sangat disukai oleh Allah dan RasulNya kerana tujuan mutlak perjuangan pemahaman agama ini adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

Maka dengan itu kita harus fahami bahawa permusuhan dalam pemahaman agama ini adalah satu perkara yang amat pelik kerana tujuan kita semuanya adalah untuk mendapatkan keredhaanNya. Jesteru jika wujud golongan golongan yang bermusuhan dan benci membenci antara satu sama lain kerana pemahaman agama yang berbeza , maka terbuktilah bahawa pemahaman agama mereka telah terpesong dari manhaj Islam yang sebenar dan mereka telah menentang syariah agama ini yang menganjurkan kasih sayang sesama ummat. Akhir sekali tadabburlah ayat ini:-

 

A103

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

(A-li’Imraan 3:103

 

A105

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

(A-li’Imraan 3:105

 

 

 

 

 

 

 

 

TIDAK BERLEBIHAN MEMUJI RASULULLAH S.A.W

Jika ditanya pada setiap Mukmin siapakah manusia yang paling dicintainya, wajiblah jawapannya ialah Rasulullah s.a.w. Baginda lebih kita cintai dari ibu bapa kita , pasangan hidup hatta anak kita sekalipun. Apatah lagi jika dibandingkan pemimpin pemimpin, ulama ulama dan juga manusia manusia hebat yang lain.

Sebagai Muslim kita diajar bagaimana hendak mempamerkan kecintaan tersebut. Jalan yang terbaik untuk membuktikan cinta suci ini ialah dengan menjadi Mukmin yang terbaik yang berjuang bersungguh sungguh untuk bersatu dengan Baginda di syurga kelak. Caranya ialah mengamalkan segala suruhan dan meninggal segala larangan yang telah ditetapkan oleh Baginda.

Pada masa yang sama juga , Baginda s.a.w amat khuatir jika umat ini menjadi berlebih lebihan dalam membuktikan cinta kepada Baginda s.a.w sehingga melampau sebagaimana kaum kaum terdahulu yang menuhankan Nabi mereka seperti  Isa a.s dan juga Uzair a.s.

Salah satu cara kaum dahulu bersikap melampau dalam memuliakan Nabi mereka ialah dengan menjadikan kubur Nabi Nabi mereka sebagai Masjid sehingga mereka berkumpul, beribadah dan berdoa bukan kepada Allah tetapi terus kepada Nabi Nabi tersebut.

“Laknat Allah S.W.T kepada orang orang Yahudi dan Nasrani. Mereka menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Malah baginda berdoa kepada Allah s.w.t supaya kubur Baginda s.a.w tidak dijadikan sebagai berhala yang disembah

” Ya Allah, janganlah Kau menjadikan kuburku sebagai berhala yang disembah. Murka Allah s.w.t amat dahsyat terhadap kaum yang menjadikan kubur para Nabi sebagai Masjid. (Hadith Riwayat Imam Malik dalam Muwatha).

Imam Malik pernah ditanya tentang sesorang yang bernazar untuk datang ke makam Rasulullah s.a.w , maka Imam Malik menjawab ” Jika yang ingin dia datangi ialah kubur Nabi, maka ia tidak boleh melaksanakannya. Namun jika yang ingin dia datangi ialah Masjid Nabawi, maka hendaklah ia laksanakan”. Imam Malik berpendapat tidak boleh bernazar untuk ke kubur baginda kerana datang ke kubur baginda bukanlah satu ibadah.

Rasulullah s.a.w adalah manusia yang terhebat dalam sejarah kemanusian. Tidak ada manusia yang telah memberi impak yang sebegitu hebat dalam sejarah peradaban manusia sebagaimana yang telah diberikan oleh Baginda s.a.w. Revolusi ilmu yang kita lihat hari ini adalah satu revolusi yang telah dimulakan oleh Baginda s.a.w yang mana obornya masih menyala  walaupun cahayanya malap pada ummat Baginda s.a.w sendiri pada hari ini.

Walaubagaimanapun , hakikatnya Baginda s.a.w  tetap manusia biasa. Kesempurnaan baginda adalah kesempurnaan seorang makhluk yang langsung tidak dapat dibandingkan dengan kesempurnaan Al-Khalik itu sendiri yang Maha Sempurna.

Namun , ada sebahagian manusia yang sombong mahu manusia dituhankan. Manusia ini mahu pengiktirafan bahawa manusia itu juga sesempurna Pencipta mereka. Apabila idea bahawa manusia juga mampu menjadi sesempurna Tuhan ini dikembangkan , maka kini wujudlah agama humanisme yang menjadi pangkin kepada segala fahaman liberlisme, atheisme, antogonisme, dan sebagainya. Kini mereka mengatakan bahawa manusia adalah tuhan dan kehendak manusia adalah undang undang mutlak.

Menyedari kebodohan manusia dan kelicikan iblis, maka agama ini melarang kita memuji Rasulullah s.a.w secara melampau.

” Janganlah kamu terlalu memujiku sebagaimana orang orang Nasrani terlalu memuji Isa putra Mariam, kerana aku hanyalah seorang hamba-Nya. Ucapkanlah ” Hamba Allah dan Rasul-Nya”. (Hadith Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Ada seorang Arab telah berkata kepada Baginda s.a.w ” Allah berkehendak dan Engkau berkehendak “. Maka Rasulullah s.a.w menjawab ” Apakah kau hendak menjadikan aku sebagai sekutu Allah? Bahkan Allah s.w.t sahaja yang berkehendak”

Malah ini Allah telah memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk mempasakkan perkara ini kepada para Muslimin melalui ayat ayat berikut:-

“Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.”(Al-A’raaf 7:188)

Imam At  Thabrani meriwayatkan dalam Al Mu’jam al Kabir bahawa seorang munafik menyakiti orang orang Mukmin, maka Abu Bakar r.a berkata “Berdirilah kamu, kita memohon pertolongan dengan Rasulullah s.a.w terhadap orang munafik ini”. Maka Rasulullah s.a.w bersabda ” Sesungguhnya tidak ada minta tolong kepadaku, minta tolong hanyalah kepada Allah s.w.t

Walaupun ketaatan kita pada Rasulullah s.a.w adalah mutlak kerana ketaatan kita pada Rasulullah s.a.w adalah ketaatan kepada Allah, namun kecintaan kita kepada Allah adalah melampaui kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w.

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).(Al-Baqarah 2:165)

Maka fahamilah,  kita mencintai Rasulullah s.a.w dengan meletakan Baginda s.a.w di tempat yang sesuai dengan kedudukan Baginda dan jangalah menyusahkan Baginda s.a.w sebagaimana kaum kaum terdahulu menyusahkan Nabi mereka.

 

 

 

 

HIPOKRITNYA KITA!!!!!!!

Kita tidak segan keluar dari fatwa mazhab syafie dalam isu muzik demi nafsu kita, tapi kita melenting apabila orang lain keluar dari fatwa mazhab syafie kerana menjaga aib dia.

Kita tidak segan ambil rasuah atas pelbagai alasan dari meningkatkan ekonomi Islam, hingga tiada dalil haramnya rasuah namun kita melenting apabila orang lain mencuri dari masjid kerana kelaparan

Kita tidak segan apabila kita memungkiri janji janji kita demi keuntungan dunia namun kita melenting apabila kita melihat kaum lain berjaya dalam perniagaan mereka berkat kejujuran mereka.

Kita tidak segan memfitnah parti lawan kita demi meraih undi dan sokongan rakyat namun kita melenting apabila kita ditegur dengan baik

Kita tidak segan berzina dengan anak isteri orang namun kita melenting apabila lelaki tidak berkelakuan senonoh dengan anak isteri kita.

Kita tidak segan mengelak diri dari membayar zakat dan memberi sedeqah waktu kita senang namun kita melenting apabila tiada siapa menolong kita waktu kita susah.

Kita tidak segan apabila kita mengumpat mengetawakan orang namun kita melenting apabila ada orang mengejek kita

Kita tidak segan curang dari amanah kita namun kita melenting apabila apabila manusia mengelak diri dari kita.

Kita tidak segan apabila kita malas untuk belajar dan berfikir namun kita melenting apabila ada orang sudi menasihati kita.

Kita tidak segan untuk ambil semua yang Allah bagi namun melenting apabila disuruh taat kepadaNya.

Ummatan wassatan betul kita ini, wahai Muslimin akhir zaman !!!!!

ANAK ZINA : ANTARA NASAB DAN PEWARISAN

  1. Dalam memahami isu anak zina ini, perlu difahami beberapa perkara. Pertamanya jika anak itu dilahirkan dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh ibunya berkahwin, maka si suami tidak boleh menafikan bahawa anak dalam kandungan isterinya  itu adalah anak dia kecuali dia menceraikan si ibu melalui li’aan.
  2. Jika dalam tempoh itu seorang lelaki lain datang menuntut bahawa anak yang dikandung  si isteri tersebut adalah anak dia, tuntutan lelaki itu tidak akan dilayan mengikut Hadith ” Anak dinasabkan kepada si suami dan penzina tidak dapat apa apa”.
  3. Ibn Qudamah mengatakan ini adalah ijma ulama.
  4. Walaubagaimanapun , perselisihan pendapat antara ulama timbul apabila anak zina dilahirkan di luar perkahwinan dimana majoriti berpendapat bahawa anak zina tidak boleh dinasabkan kepada si bapa walaupun si bapa mengakui itu adalah anaknya.
  5. Majoriti ulama menggunakan satu hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad , Abu Dawood, dan Ibn Majah yang mengatakan bahawa dari Amr bin Shu’ayb dari bapanya dari datuknya mengatakan bahawa ” Rasulullah s.a.w telah memutuskan bahawa sesiapa yang dilahirkan kepada hamba perempuan yang tidak dimiliki oleh ayahnya atau (dilahirkan) kepada seorang perempuan merdeka dengannya (si bapa) melakukan zina, maka dia tidak boleh dinasabkan kepada sibapa atau mewarisi daripadanya walaupun si bapa mengakui anak tersebut”. Hadith ini telah dihukum “hasan” oleh Al-Albaani dalam Saheeh Abi Dawood dan Al Arna’oot dalam Tahqeeq al Musnad  (Saya minta jasa baik untuk para sahabat mengesahkan fakta ini kerana ketidakmampuan saya mengesahkannya).
  6. Walaubagaimanapun ada ulama yang mengatakan bahawa anak zina  itu boleh dinasabkan kepada si bapa jika si bapa mengaku. Ulama ulama yang berpegang dengan pendapat tersebut ialah al-Hasan, Ibn Sireen, Urwah, al-Nakhai, Ishaaqm dan Sulaiman bin Yasaar. Malah Ibn Qudamah mengatakan bahawa ini juga pendapat Abu Haneefah dimana beliau berpendapat bahawa tidak salah untuk kedua dua penzina berkahwin walaupun si wanitanya mengandung untuk menyembunyikannya dan anak zina tersebut adalah anak  si bapa( al-Mughni 9/122)
  7. Ibn Taimiyyah juga mengatakan bahawa Umar Al Khattab juga menghubungkan nasab anak anak jahilliyah kepada ayah ayah mereka.
  8. Satu isu kontroversi dalam isu nasab ini ialah apabila anak tidak dinasabkan kepada bapanya, maka adakah si anak perempuan menjadi mahram kepada bapanya?
  9. Apabila ditanya samada anak zina boleh berkahwin dengan bapa zinanya, Ibn Taimiyyah menjawab bahawa mengikut pendapat majoriti termasuk Imam Abu Haneefa, Imam Malik, dan Imam Ahmad , ianya adalah haram. Malah Imam Ahmad , jika perkahwinan tersebut berlaku,maka pasangan itu harus dihukum bunuh.
  10. Ulama ulama yang mengharamkan perkahwinan ini merujuk kepada ayat 23 An Nisa yang mengharamkan perkahwinan dengan anak perempuan. Anak perempuan dalam ayat ini mengikut tafsiran mereka menjangkaui  setiap anak perempuan baik yang hakiki mahupun yang majazi.  Isu pengharaman perkahwinan ini adalah isu yang berbeza dengan isu pewarisan dimana anak zina tidak mewarisi dan tidak diwarisi dari sibapa.
  11. Manakala Imam Syafie pula berhujah bahawa anak perempuan yang dirujuk dalam ayat tersebut hanya anak yang sah daripada perkahwinan yang sah. Maka anak zina boleh berkahwin dengan si bapa.
  12. Salah satu hujah yang sangat meyakinkan dari Ibn Taimiyyah juga ialah jika seorang anak menjadi haram untuk dinikahi akibat susuan , sudah tentu seorang anak yang tercipta dari sperma bapanya patut menjadi lebih haram untuk dinikahi oleh bapanya.
  13. Ibn Taimiyyah juga merujuk kepada aya 23 An Nisa ” ….dan (haram juga kamu berkahwin dengaa ) bekas isteri anak anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu”. Beliau berhujah bahawa jika bekas isteri  anak anak yang berasal dari benih pun haram dikahwini, apatah lagi anak anak dari benih itu sendiri, sudah tentu lebih patut haramnya.
  14. Anak perempuan dari isteri yang melakukan li’aan juga adalah haram untuk dikahwini oleh bekas suami ibunya itu mengikut pendapat jumhur ulama, dan pendapat ulama yang menghalalkannya pula adalah sangat lemah. Dalam hal ini, walaupun anak itu tidak dianggap anak dalam isu faraid,tetapi dalam isu pernikahan , anak itu dianggap sebagai anak.
  15. Oleh itu, adalah munasabah untuk seorang anak zina dianggap anak kepada seorang lelaki dalam hal perkahwinan tetapi tidak dianggap anak dalam hal pewarisan.
  16. Mungkin kita perlu menilai samada seorang anak zina perlu dianggap anak dalam isu pemberian nafkah anak untuk mengelakkan kezaliman si ibu membesarkan anak zina seorang diri dan si bapa pula melepaskan dirinya begitu sahaja.