Sekular secara mudah bermaksud mengasingkan urusan dunia kita daripada hukum agama.
Maksudnya dalam urusan dunia kita, pandangan agama itu tidak relevan. Agama hanya relevan apabila membuat urusan ibadah agama.
Namun ada salah faham di Malaysia bahawa sekular itu hanyalah menolak hudud. Malah dilanjutkan lagi tafsiran sekular ini kepada sesiapa yang menolak golongan yang menuntut hudud.
Ini sangat tidak tepat kerana tafsiran ini sangat sempit dan terbabas.
Benar sesiapa yang menolak hudud secara mutlak dan tanpa syarat bukan sahaja sekular tetapi boleh membawa kepada murtad kerana menolak hukum Allah.
Tetapi syariat juga menetapkan bahawa pelaksanaan hudud adalah tertakluk kepada syarat dan suasana, dan juga tertakluk kepada pengecualian. Ini adalah sesuatu yang difahami oleh para ulama sendiri dan ada dalil dalilnya yang tersendiri yang memerlukan perbincangan yang lebih khusus dalam forum lain.
Namun sebagai satu contoh mudah,Saidina Umar Al Khattab pernah menggantung hukuman hudud mencuri pada zaman kemarau. Ini menjadi dalil bahawa pelaksanaan hudud tanpa melihat konteks dan suasana boleh membawa kepada kezaliman. Pencuri yang mencuri pada zaman kelaparan berleluasa sewajarnya dilepaskan dari hudud mengikut ijtihad sahabat sahabat agung.
Tetapi perintah Allah bukan hudud sahaja. Dalam undang undang jenayah, Islam juga ada qisas dan diyat. Dalam undang undang perniagaan kita ada pengharaman riba, monopoli, penipuan, rasuah, gharar, dan sebagainya.
Dalam politik dan sosial, ada pengharaman fitnah, adu domba, ghibah, rasuah, khianat, menipu dan sebagainya.
Ini semua perintah Allah yang Allah suruh kita ikut dan ini semua tidak ada khilaf dalam pengharamannya.
Namun hari ini kita lihat ada golongan yang kafirkan manusia kerana menolak hudud namun pada masa yang sama melanggar semua perintah Allah berkenaan politik dan sosial
Islam.
Mereka caci, mereka mengejek, mereka mengetawakan, mereka memfitnah, mereka mengadu domba, mereka mengumpat. Bila ditanya, mereka berhujah politik adalah perang.
Masalahnya Rasulullah s.a.w juga berpolitik. Baginda berpolitik dengan kafir harbi, ahli kitab yang licik dan munafik yang keji. Tidak pernah pula Baginda halalkan fitnah, adu domba, menipu, mengumpat, mencaci dan mencerca hatta kepada golongan musuh musuh Islam atas alasan perang. Sungguh ajaib!!!! Jadi bagaimana ianya menjadi halal terhadap sesama Muslim?!!
Jelas untuk halalkan perbuatan yang haram, dalil terpaksa dicari, bukan?
Namun tanpa mereka sedar, mereka telah memisahkan agama dari politik mereka kerana dalam pemikiran mereka berpolitik cara Islam, dengan syariat Islam, akhlak Islam, dengan adab Islam, susah hendak menang pilihan raya.
Maka , bukankah ini adalah sekular?!
Hari ini kita lihat ada golongan yang bersemangat menghentam bukan Islam kerana minum arak, berjudi dan menyokong LGBT tetapi pada masa yang sama mereka berniaga dengan rasuah, dengan menipu, dengan khianat. Apabila mereka berjanji, mereka mungkir, apabila diberi amanah, mereka khianat. Semuanya untuk untung dunia.
Kalau berniaga secara Islam, mereka fikir susah untuk untung. Mereka lupa dan alpa bahawa yang beri rezeki itu Allah. Mereka tidak mampu bertawakkal kepada Tuhan dalam hal rezeki. Sedar atau tidak sedar, mereka beriktikad bahawa rezeki itu hanya dari usaha manusia.
Maka mereka pisahkan urusan perniagaan mereka daripada agama. Bukankah ini sekularisme?
Yang ajaibnya, mereka mahu bukan Islam mematuhi perintah Islam dalam urusan LGBT pada ketika mana mereka yang Islam mengabaikan Islam dalam urusan rezeki mereka.
Ajaib!!! Sungguh ajaib….
Agaknya inilah sebab Allah menurunkan ayat ini
Holy Quran 61:2
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
