Terus-terang saya langsung tidak terkesan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa kerajaan negeri tidak ada bidang kuasa merangka undang-undang untuk menghukum satu perbuatan yang sudah dianggap jenayah dalam bidang sivil.
Perbuatan homoseksual masih merupakan perbuatan jenayah dalam negara ini. Malah hukuman untuk jenayah homoseksualiti di mahkamah Sivil adalah lebih berat dari Mahkamah Syariah negara ini.
Jadi di mana masalahnya?
Masalahnya bukan pada keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut. Masalahnya adalah pada Iki Putra itu sendiri.
Masalahnya apabila jenayah homoseksualiti telah menjadi biasa dalam masyarakat ini sehingga kita lebih marah dan terkilan kerana Mahkamah Syariah dicabar sedangkan jenayah homoseksualiti itu yang lebih patut merungsingkan kita.
Jangan salah faham. Saya tidak menuntut supaya Iki Putra dihukum sekeras-kerasnya untuk perbuatan homoseksualitinya (jika benar tuduhan tersebut). Saya tidak teruja untuk menghukum Iki Putra dengan mencontohi Rasulullah s.a.w yang juga tidak teruja untuk menghukum mereka-mereka yang datang mengakui perbuatan zina mereka kepada Baginda s.a.w.
Kita tidak boleh menafikan masalah zina, rogol, sumbang mahram dan homoseksualiti sudah berleluasa dalam masyarakat kita. Masalah ini tidak akan hilang sekelip mata dengan memperkasakan Mahkamah Syariah atau memberatkan hukuman.
Hukuman bunuh dan rejam sekalipun tidak akan mampu menghalang mereka yang ingin melakukan jenayah ini.
Malah jika jenayah menjadi semakin berleluasa, sesuatu jenayah boleh menjadi norma masyarakat sebagaimana yang telah berlaku di negara-negara barat. Apabila ianya telah menjadi norma masyarakat, pada waktu itu Mahkamah Syariah pun akan menjadi gajah putih.
Tidak keterlaluan kalau saya katakan untuk hancurkan Mahkamah Syariah tidak perlu pinda Perlembagaan, memadai dengan menormalkan perbuatan maksiat yang menghancurkan masyarakat.
Bagi saya masalah jenayah yang berleluasa ini adalah satu indikasi jelas masalah akidah yang amat parah. Apabila manusia sudah tidak takut tuhan, sudah kabur kepercayaannya pada agama, semua jenayah dan maksiat menjadi halal dan sunnah kepadanya.
Oleh itu yang kita perlukan sekarang bukan perjuangan RU 355 atau hudud atau memperkasakan Mahkamah Syariah. Sebaliknya adalah perjuangan untuk memulihkan dan memperkukuhkan akidah anak-anak generasi seterusnya. Ini hanya boleh dilakukan dengan perjuangan pendidikan dan dakwah.
Betul, perjuangan ini tidak menghairahkan sebagaimana perjuangan jalanan RU 355 tetapi perjuangan inilah yang kita perlukan.
Jika satu hari kita telah berjaya melahirkan generasi rabbani, pada waktu itu, kita sudah tidak perlukan perubahan perlembagaan untuk melaksanakan syariah Islam di negara ini. Kerana syariah itu sudah terlaksana di peringkat individu, keluarga dan seterusnya masyarakat.
Begitulah Rasulullah s.a.w membentuk generasi para sahabat dan begitulah kita harus cuba membentuk generasi penerus kita.
Semoga Allah s.w.t terus selamatkan dan memberkati bumi Malaysia tercinta ini……
