BUKAN MALAIKAT YANG DIUTUS

“Kenapa manusia yang akan membawa bencana dan menumpahkan darah dilantik sebaga Khalifah bumi? “ tertanya-tanya para Malaikat. Bukan mempertikaikan keputusan Allah s.w.t tetapi sifat ingin tahu mengusai para Malaikat.

“ Lebih-lebih lagi, kami ini sentiasa bertasbih memujiMu dan mensucikanMu”.

Jadi apa yang hebat sangat manusia ini. Kalau ditanya pada iblis, lagi dipandang rendah manusia ini. Diperbuat daripada tanah tanah yang busuk, melekit dan gelap. Apatah lagi jika dibanding dengan malaikat yang dibuat cahaya dan Iblis yang dibuat daripada api. Kedua-duanya elemen menerangkan yang gelap.

Maka Allah s.w.t pun mengajar Adam nama-nama dan kegunaanya. Itulah kehebatan manusia. Terletak pada kemampuan akalnya untuk belajar ilmu.

Manusia tidak ada kapasiti beribadat dan berzikir sehebat malaikat. Allah s.w.t juga tidak membuktikan kehebatan manusia dengan menunjukkan kesolehan manusia. Allah s.w.t menonjolkan kehebatan manusia pada kesempurnaan akalnya.

Kemudian Adam a.s pun tergelincir dan diturunkan ke bumi. Allah s.w.t menasihatkan Adam a.s dan warisnya , jika datang kepadamu petunjukKu dan kamu mengikutinya nescaya tidak perlu takut dan sedih.

Maka setiap kali manusia tergelincir dan sesat, Allah s.w.t pun menurunkan petunjukNya. Petunjuk ini datang dalam bentuk Rasul dan Kitab. Untuk ummat ini Al-Quran dan Sunnah.

Sering kali manusia bertanya, kenapa Rasul dan Kitab. Kenapa tidak diturunkan sahaja batallion malaikat yang memaksa manusia tunduk dan sujud kepada Allah Rabbul Jalal. Bukankah lebih mudah manusia beriman dengan melihat Keperkasaan Allah jika malaikat yang diturunkan untuk menuntut pengabdian manusia.

Jawapannya adalah kerana manusia adalah makhluk yang berakal. Kita bukan binatang yang perlu dicucuk hidung untuk dituntut ketaatan daripada kita. Allah s.w.t mengurniakan akal kepada kita untuk melihat dan mengkaji petunjuk yang diberikan kepada kita. Kita juga diberi pilihan untuk mengikut petunjuk tersebut ataupun tidak.

Petunjuk Allah s.w.t datang dengan hujjah dan dalil. Al-Quran datang dengan cabaran untuk manusia menggunakan akalnya. Al-Quran datang dengan membawa hujjah yang membungkamkan pengkritiknya.

Al-Quran tidak gentar dengan cabaran akal manusia malah bersedia menjawab dan membalas setiap persoalan yang menghantui manusia. Syaratnya satu sahaja, gunakan akal dengan adil untuk mencerna apa yang disampaikan oleh Al Quran. Nescaya manusia akan mendapat petunjuk.

Al-Quran mengajar kita jangan menerima apa-apa sekalipun tanpa hujjah dan dalil. Maka Al-Quran sendiri datang dengan hujjah dan dalil. Al-Quran tidak menuntut kita menerimanya dengan taklid malah cabaran demi cabaran dilemparkan untuk manusia memikirkan kalam Allah yang Maha Sempurna itu.

Begitulah Allah s.w.t memuliakan akal manusia.

Namun hari ini, betapa banyak agamawan, pendakwah, ahli politik, pejuang agama yang menuntut taklid buta daripada kita. Kata mereka jangan dicabar. Dituduhnya kita sebagai liberalis, dituduhnya kita munafik, dituduhnya kita sesat.

Apabila malaikat sendiri bertanya kepada Allah s.w.t hikmah penciptaan manusia, dan Allah s.w.t sendiri menjawab soalan para Malaikat dengan dalil dan hujjah pembuktian dengan menunjukkan kehebatan Adam, maka bayangkanlah kesombongan manusia ini yang cuba mendiamkan soalan dengan nama agama.

Para agamawan ini sering mengingatkan kita bahawa “ulama itu dagingnya beracun” atau “beradab dengan guru” apabila kita tidak bersetuju dengan mereka.

Ya akhi,

Malaikat pun bertanya soalan kepada Allah dan Allah s.w.t tidak pernah menuduh para malaikat kurang ajar kepada Allah s.w.t, Pemilik segala kemuliaan.

Jika Allah s.w.t menggunakan dalil untuk meyakinkan manusia, dari mana datangnya kesombongan kamu untuk menuntut kepatuhan buta daripada sekalian manusia.

Alangkah buruknya kesombongan manusia itu.

Ya, betul. Kita kena beradab dengan ulama. Ulama ini adalah guru-guru kita. Maka sewajarnya kita meghormati guru.

Pada masa yang sama , guru juga mempunyai peranan menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh anak muridnya. Guru sewajarnya mengalakkan anak murid bertanya soalan. Malah guru haruslah menunjukkan adab dengan berani mengakui kesalahannya jika pendapatnya ditegur anak murid dan terbukti kesalahannya.

Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik guru. Baca sahaja asbabul nuzul Surah al Mujadila apabila Khaulah binti Tsa’labah mempersoalkan denda yang dikenakan kepada suaminya kerana menziharkan isterinya hingga akhirnya Allah s.w.t sendiri menurunkan satu surah khusus untuk menjawab kerungsingan wanita tersebut.

Tidak pula Allah dan Rasulnya menuduh wanita tersebut derhaka kepada Rasulullah s.a.w kerana menyoal Baginda s.a.w .

Semoga kita semua bermuhasabah…..

Tinggalkan komen