Sejak Islam mula menjadi alat pelaris, kita lihat banyaknya pertumbuhan pelbagai perniagaaan, industri, organisasi dan pemerintahan yang menggunakan perkataan Islam pada nama mereka.
Ada bank Islam, sekolah Islam, parti Islam, kerajaan Islam, negara Islam, hospital Islam, peguam Islam, persatuan islam, pengguna Islam dan pelbagai Islam yang lain.
Atas apakah mereka yakin bahawa semua entiti ini adalah Islam. Apakah kriteria bagi sesebuah organisasi menjadi Islam?
Bagi orang Islam, kita tahu mereka adalah yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Namun bagaimana kita hendak tahu samada sebuah negara itu Islam, atau sebuah persatuan itu Islam?
Cukupkah sekadar meletakkan nama entiti itu ada perkataan Islam untuk menjadikannya Islamik? Bagaimana pula yang menonjolkan keislaman entiti perniagaan mereka dengan menggunakan perkataan Arab seperti takaful, arqam, ikhlas, ikhwan dan sebagainya?
Lebih memeningkan apabila yang bukan Islam juga sudah mula mengadapatsikan taktik nama “Islamik” ini kepada perniagaan mereka untuk menarik pelanggan Islam.
Bagaimana jika institut kewangan yang menggunakan nama Islam dan menjual produknya dengan penuh dengan unsur penipuan dan penindasan tetapi dijustifikasikan dengan nama Arab yang “syariah compliance”?
Bagaimana jika yang menjual produk makanan sunnah, tetapi produknya penuh dengan bahan kimia yang berbahaya demi mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan?
Bagaimana jika mendabik dada mendakwa perniagaan Islam, tetapi enggan bayar gaji dan KWSP pekerja-pekerja mereka yang miskin?
Bagaimana yang membuka hospital Islam, tetapi memberi pemeriksaan kesihatan atau rawatan yang tidak perlu kepada pesakit supaya boleh mengenakan caj yang maksimum kepada syarikat insurans?
Bagaimana jika syarikat insurans Islam yang sepatutnya mejadi platform orang Islam saling membantu namun menjadi platform si kapitalis mengaut keuntungan atas angin?
Bagaimana jika parti Islam yang memperjuangkan Islam dan orang Islam, sanggup menyebarkan fitnah dan mengadu domba demi memenangi pilihan raya?
Bagaimana jika negara Islam yang melaksanakan hudud, namun mempunyai set undang-undang yang berbeza antara aristokrat dengan marhain?
Bagaiamana jika persatuan Islam yang melaungkan perjuangan Islam dan teori konspirasi, menciluk wang derma yang diamanahkan kepada mereka?
Lalu, dimanakan Islam dalam Islamik mereka??!!
