TIADA CINDERELLA DI SISI ALLAH

Kalau dalam cerita dogengan, wanita wanita samada puteri atau pun anak yatim miskin sentiasa memerlukan seorang lelaki gagah perkasa untuk menolong mereka.

Snow White, Cinderella, Rapuntzel dalam cerita barat, Bawang Putih Bawang Merah dalam cerita Melayu, Rama Sita dalam cerita hikayat Hindu.

Al Quran pula datang dengan cerita cerita keindividuan wanita tanpa imej lelaki di belakang mereka.

Dalam penghujung surah At-Tahreem, Allah mengingatkan kisah 4 wanita.

Dua wanita pertama ialah Isteri Nuh a.s dan isteri Luth a.s. Kedua-dua wanita ini dikurniakan dengan suami yang sebaik baiknya.

Namun kesolehan kedua suami mereka langsung tidak membantu mereka dalam menghadapi dosa dosa mereka.

Kemudian Allah ingatkan pula mengenai Siti Asiah isteri si Firaun. Jika ada satu manusia untuk dinobatkan paling jahat, Firaun mungkin pemenangnya. Manusia yang mengaku dirinya tuhan yang paling tinggi. Manusia yang kering hatinya untuk membunuh bayi tidak bersalah.

Namun isterinya langsung tiada terkesan di sisi Allah dari perbuatan suaminya. Maqamnya mulia dan merupakan salah seorang dari empat pemimpin wanita syurga.

Kemudian Allah ceritakan pula mengenai Siti Mariam. Wanita tiada bersuami namun kemuliaanya masyaAllah sangat tinggi. Tidak pula status tiada suami untuk berbakti kepadanya menjejaskan sedikitpun kesempurnaan kemuliaan baginda di sisi Allah.

Holy Quran 66:10

ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱمْرَأَتَ نُوحٍ وَٱمْرَأَتَ لُوطٍ ۖ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَٰلِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ ٱللَّهِ شَيْـًٔا وَقِيلَ ٱدْخُلَا ٱلنَّارَ مَعَ ٱلدَّٰخِلِينَ

Allah mengemukakan satu misal perbandingan bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.

Holy Quran 66:11

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱمْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ٱبْنِ لِى عِندَكَ بَيْتًا فِى ٱلْجَنَّةِ وَنَجِّنِى مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِۦ وَنَجِّنِى مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّٰلِمِينَ

Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”;

Holy Quran 66:12

وَمَرْيَمَ ٱبْنَتَ عِمْرَٰنَ ٱلَّتِىٓ أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَٰتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِۦ وَكَانَتْ مِنَ ٱلْقَٰنِتِينَ

Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.

Tinggalkan komen