Semasa saya muda dahulu, sewaktu masih naif, ketika terbaca kisah Rasulullah s.a.w ditawarkan menjadi raja Makkah sebagai ganjaran untuk berhenti berdakwah, saya terfikir mengapa Rasulullah s.a.w tidak menerima sahaja tawaran tersebut dan kemudian menggunakan kuasa dan kedudukan sebagai raja untuk memujuk penduduk Makkah menerima Islam.
Rasulullah s.a.w sangat bijaksana. Hari ini saya mungkin ternampak sedikit kebijaksanaan tersebut.
Gerakan dakwah di Malaysia banyak terdiri daripada golongan bijak pandai, profesional, pemimpin yang berkarisma, serta berkemampuan.
Mereka datang berjuang ke lapangan bukan untuk mencari jawatan, atau mencari kontrak, atau mencari nama. Jika itu yang mereka mahukan, sudah tentu parti politik lebih sesuai.
Namun mereka ini amat mencintai Islam dan ummat . Mereka korbankan profession mereka, kelulusan mereka, masa mereka, keluarga mereka demi perjuangan mereka. Ramai yang saya kenal dan saya hanya mampu mencemburui mereka dari jauh kerana tidak mungkin saya mampu mengikut jejak langkah mereka.
Perjuangan gerakan Islam mereka bukan setakat menegakkan hudud di Malaysia sebaliknya lebih jauh iaitu untuk mencipta sebuah masyarakat Islam yang sempurna(bukan negara Islam).
Oleh itu untuk membentuk masyarakat Islam, perundangan adalah aspek yang agak kecil. Aspek yang lebih besar ialah pendidikan, keadilan sosial, kesejahteraan ekonomi, dan kematangan politik.
Namun sebagai manusia, kita selalu gelojoh dan ghairah untuk melihat hasil perjuangan kita. Maka kita mahu melakukannya melalui jalan politik.
Apabila kita menguasai kuasa politik, maka kita akan mempunyai kekuatan untuk menggubal dasar pendidikan negara, menerapkan prinsip keadilan Islam dalam perundangan dan kehakiman, membetulkan kezaliman dalam sistem ekonomi.
Namun sejarah telah membuktikan bahawa cara politik secara terus sentiasa gagal.
Rakyat mungkin ada berkongsi cita cita yang sama dengan gerakan Islam tetapi kebanyakan mereka tidak ada kesabaran untuk membuat pengorbanan untuk mencapai cita cita itu dan tidak ada kebijaksanaan untuk memahami pengorbanan yang diperlukan.
Kedua dua kesabaran dan kebijaksanaan ini perlu dipupuk dan ianya hanya boleh dipupuk melalui pendidikan.
Pendidikan ini bukan pula semata mata melalui pendidikan formal malah yang lebih penting ialah melalui usaha dakwah yang berterusan dan konsisten.
Dakwah pula tidak cukup dengan mengadakan wacana dan seminar dan tidak juga memadai dengan mengadakan usrah sesama sendiri.
Cita cita ini perlukan pengorbanan setiap ahli gerakan di setiap lapangan. Setiap muslim perlu dididik samada secara terus atau paling kurang di medan media sosial.
Latihan perlu diberikan untuk mengajar pendakwah menulis di Facebook dan Twitter, atau memblog di Youtube atau berkreatif di Tik Tok.
Akhir sekali perlu diingat dan dibetulkan niat kita bahawa tujuan utama kita bukanlah masyarakat Islam yang syumul tetapi sebaliknya yang utama ialah keredhaan Allah.
Maka iman, ibadah dan akhlak adalah asset yang terpenting bagi pendakwah.
Biar tewas hina di dunia asalkan menang bergaya di akhirat.
