SIFAT HALIM: AKHLAK AGUNG YANG DIABAIKAN

Dalam Islam, ada sesetengah akhlak yang nampak tidak begitu cantik kepada dunia tetapi sangat indah dalam Islam.

Contohnya sifat malu dan sifat cemburu. Namun hari ini saya ingin bincangkan sifat halim.

Al- Halim ini adalah satu nama Allah yang Mulia.

Imam Al Ghazali memaknakan Al Halim sebagai Tuhan yang tidak bertindak dengan kemarahan kepada keingkaran dan tidak terburu buru dalam menghukum walaupun berkemampuan penuh untuk menghukum serta merta.

Ibnu Al Qayyim pula mendefinisikan Al Halim sebagai Tuhan yang memberikan tempoh bertenang kepada pendosa dan tidak menghukum serta merta walaupun berkemampuan berbuat demikian.

Keindahan akhlak Allah ini ialah untuk memberikan peluang kepada si pendosa seperti kita semua untuk kembali bertaubat kepada Allah swt. Maka Dia bersifat halim kepada kita kerana dia juga Maha Pengampun.

Malah dengan menonjolkan halim, maka kebijaksanaan dan kelemah lembutan Allah yang Maha Agung makin menonjol.

Dalam kisah-kisah Al Quran banyak terdapat kisah bagaimana para Rasul dan para wali Allah menonjolkan sifat halim mereka.

Allah swt menggelar dan memuji Nabi Ibrahim a.s sebagai seorang yang halim ketika dia berdebat dengan malaikat yang datang menghukum kaum Nabi Luth supaya mereka diberikan tempoh lagi untuk bertaubat.

Begitu juga tempoh 950 tahun dakwah Nabi Nuh a.s sebelum ummatnya dihancurkan menunjukkan sifat Halim Allah yang Mulia dan sifat halim Nabi Nuh a.s.

Malah tanpa sifat halim, perjuangan Rasulullah s.aw tidak akan sampai 23 tahun. Kerana sifat Halim Allah swt dan Rasulullah s.a.w, barulah Khalid Al Walid memeluk Islam pada tahun ke-20 dakwah.

Hari ini, sifat halim ini dipandang rendah oleh para Muslimin.

Hari ini berapa orang Muslim boleh mendabik dada pernah berdakwah?

Kalau pun ada berdakwah, berapa ramai antara kita boleh mendakwa kita mengabdikan diri kita kepada dakwah sebagaimana yang dilakukan oleh para Rasul dan para sahabat?

Kalau ada sekalipun kita pendakwah sepenuh masa, adakah kita mampu berdakwah sebagaimana Rasulullah s.a.w berdakwah?

Kalau kita berdakwah sebagaimana Rasulullah s.a.w sekalipun, adakah kita pernah berdakwah sebagaimana Rasulullah s.a.w selama 23 tahun sekurang-kurangnya?

Kalau Rasulullah s.a.w bersabar selama 23 tahun dengan Kaum Quraisy, bagaimana kita pula mampu menutup pintu dakwah kepada ummat ini, Muslim mahupun bukan Muslim dengan dengan begitu mudah?

Bagaimana kita boleh mendakwa dengan sombong bahawa mereka dilaknat oleh Allah swt sedangkan Allah s.w.t itu Al Halim?

Siapalah kita untuk menghukum bagi pihak Allah Rabul Jalil?

Tinggalkan komen