Sejak PKP ini , pertembungan antara Ahli Hadith/Salafi/Hanabilah/Wahabi dengan Ahli Fiqh/ Asy’ari/ Maturudi/Habib/Sufi makin menjadi jadi.
Kedua dua membawa hujah mereka dan kedua dua membidas hujah lawan masing masing.
Saya ingin mengingatkan kembali kedua dua pihak ini akan satu Hadith yang saya pasti kedua dua pihak lebih arif dari saya mengenainya. Hadith ini boleh ditemui dalam Shahih Bukhari.
Satu hari Rasulullah s.a.w menghantar rombongan tenteranya ke Bani Quraizhah. Baginda berpesan kepada para sahabat ini supaya jangan sembahyang asar kecuali di perkampungan Quraizhah.
Maka berangkatlah angkatan tentera ini namun hampir menjelang maghrib, mereka tidak mampu sampai ke perkampungan Bani Quraizhah.
Maka timbul satu konflik. Sebahagian sahabat enggan untuk sembahyang asar kerana patuh secara literal kepada perintah Rasulullah s.a.w yang menyuruh mereka sembahyang hanya di perkampungan Bani Quraizhah. ( Saya anggap kumpulan ini sebagai Ahli Hadith)
Manakala sebahagian sahabat yang lain pula tidak bersetuju sebaliknya berpendapat bahawa tujuan Rasulullah s.a.w memberi arahan tersebut adalah untuk mengarahkan angkatan tentera tersebut menyegerakan perjalanan mereka supaya boleh sembahyang Asar di perkampungan tersebut. Memandangkan sembahyang Asar hampir luput, maka haruslah menunaikan sembahyang Asar itu walaupun masih belum sampai perkampungan tersebut.
Kumpulan kedua ini ialah mereka yang melihat kepada maksud dibalik perintah Rasulullah ( Saya anggap kumpulan ini sebagai Ahli Fiqh)
Kemudian apabila berjumpa dengan Rasulullah s.a.w, para sahabat mengadukan permasalahan ini kepada baginda. Baginda hanya diam tidak membantah mana mana kumpulan sahabat tersebut yang memberi indikasi ijtihad kedua dua kumpulan tersebut adalah betul.
Untuk satu mengatakan pendapat satu kumpulan betul tidak bermaksud kumpulan satu lagi salah.
Perselisihan kedua dua kumpulan ini bukan pada perkara asas agama ini sebaliknya adalah pada perbezaan penafsiran nas, cara pengendalian dalil, dan pada khilaf dalam keutamaan dalil.
Dalam satu isu boleh sahaja ahli hadith lebih tepat dan dalam isu lain ahli fiqh betul. Selagi niat kedua dua kumpulan ini adalah keredhaan Allah,maka sewajarnya tidak sukar untuk sukar untuk mengurus perbezaan ini.
Cumanya jika perdebatan ini akibat kerakusan meluaskan pengaruh kepada pemimpin dan rakyat, atau untuk berlagak menunjukkan kepandaian, atau ketamakan kepada harta dunia, maka perbezaan yang kecil pun, akan diapi apikan oleh syaitan.
Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada ulama ulama kita.
