MENANG KALAH BUKAN PENENTU BENAR SALAH

Kalau direnung ayat ayat Al Quran salah satu mesej yang disampaikan oleh Al Quran ialah orang jahat boleh sahaja menang di dunia.

Kadang kadang bila dilihat yang jahat Allah beri kekayaan yang banyak, badan yang sihat, rupa yang cantik, berkarisma, keluarga yang bahagia dan kawan kawan yang setia.

Manakala yang baik pula, mereka pula diuji dengan kemiskinan, rupa yang buruk, badan yang lemah, keluarga yang hancur, dipulau masyarakat.

Malah sejarah kepimpinan Islam pun membuktikan bahawa kepimpinan amat jarang diberikan kepada yang terbaik antara kita tetapi selalu diberikan kepada yang terburuk antara kita.

Malah kadang kadang ini menjadi hujjah kepada yang jahat untuk mengetawakan yang baik. Orang baik dianggap naif, tidak praktikal dan bodoh.

Bagi orang bermasalah hatinya, menang kalah di dunia ini adalah penentu betul salah. Jika seorang perompak terlepas dari undang undang dan menjadi kaya raya, maka di mata dia perompak itu adalah seorang yang berjaya.

Namun bagi orang mukmin, menang kalah di dunia ini langsung tidak ada impak. Bila dia melihat seorang buruh pendatang asing membanting tulang empat keratnya demi mencari sesuap rezeki halal, bagi dia buruh itu jauh lebih mulia dari perompak kaya tadi walaupun buruh itu selekeh dan busuk.

Itulah petanda iman.

Holy Quran 63:4

Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya ); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki).

Holy Quran 9:85

Dan janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengannya di dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

Tinggalkan komen