Ada rakyat Malaysia yang mahu Malaysia mengambil nilai nilai barat dan meninggalkan nilai nilai Islam walaupun mereka tidak dizalimi dengan nilai Islam tersebut.
Mereka prejudis kepada nilai Islam walaupun sejarah Malaysia membuktikan nilai Islam inilah yang menyebabkan orang Islam negara ini tidak menzalimi orang bukan Islam ketika mana negara negara barat sendiri menzalimi orang yang tidak sewarna kulit, tidak sebangsa atau tidak seagama dengan mereka.
Hatta hari ini pun negara negara barat sudah mula kembali mengamalkan nilai nilai nasionalisme yang membenci bangsa Asia kerana merugikan kedudukan mereka sebagai bangsa pribumi di tanah air mereka.
Orang bukan bumiputera mesti berhenti mempertikaikan kedudukan istimewa bangsa bumiputera negara ini kerana ini adalah satu perkara asas yang sudah pun dipersetujui oleh nenek moyang kita semasa membentuk negara ini.
Kalau mereka terus mempertikaikan hak bumiputera ini, maka tidak ada apa yang boleh menghalang bumiputera pula untuk menyoal hak kerakyatan bukan bumiputera di negara bertuah ini.
Jika kita saling mempertikaikan hal hal sebegini, nescaya yang rugi adalah kita semua. Benih benih permusuhan hari ini akan mengakar teguh dalam kalbu generasi akan datang yang sudah pasti akan menghancurkan masa depan negara ini.
Bangsa bukan bumiputera mesti berhenti mengimpikan negara ini menciplak negara barat kerana negara ini sudah berada di landasan yang betul dengan nilai nilai yang tersendiri walaupun tidak dinafikan ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki bukan dengan saling kritik mengkritik tetapi sebaliknya di meja perundingan.
