KESOMBONGAN BANGSA MALAYSIA

Apabila kita memandang rendah kepada kemiskinan dan keburukan rupa paras Rohingya dan memandang tinggi kepada kekayaan dan cantik rupa paras kita, kita terlupa bahawa tidak mustahil esok mungkin Allah merubah segalanya.

Holy Quran 3:140

Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Apakah kita fikir hanya kerana negara kita makmur, rakyat kita hidup senang lenang, kita ini bangsa yang mulia di sisi Allah?

Apakah kita tidak membaca kisah pemilik kebun dalam Surah Al Kahfi yang berlagak dengan kemakmuran kebun sehingga dia merasakan dia mulia di sisi Tuhan?

Holy Quran 18:35

Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.

Holy Quran 18:36

Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

Kita tidak mahu membantu bangsa Rohingya itu tidak ada masalah. Itu hak kita. Kita sedar kita punyai kekangan.

Namun kita langsung tidak ada hak untuk menghina, melaknat dan memaki satu bangsa dengan tuduhan pengecut, bacul dan lari dari perang.

Maka adakah kita juga harus menghina bangsa Syria, bangsa Bosnia, bangsa Uighur yang melarikan diri itu?

Bukalah Al Quran lihat bagaimana Allah memerintahkan Nabi Musa keluar dari negara Mesir, bukankah itu satu pelarian?

Kenapa kita tidak fikir kebijaksanaan Allah tidak memerintahkan Rasulullah s.a.w duduk di Makkah dan berperang dengan Arab Quraisy tanpa berhijrah ke Madinah?

Apakah kita fikir zaman ini kita hanya boleh melarikan diri daripada peperangan selepas mendapat wahyu?

Jangan sombong. Tidak sukar untuk Allah menterbalikkan dunia untuk beri kita satu pengajaran.

Baru kita tahu kita ini berani atau bacul.

Tidak mampu tolong, sekurang kurangnya doa kan lah yang baik baik.

Tinggalkan komen