Jika ditanya kepada setiap Muslim, dimana kita harus belajar adab, banyak yang akan rujuk kepada ilmu tasawuf, atau belajar dengan ulama. Namun kebanyakan kita belajar dari ibu bapa kita.
Sebenarnya guru terbaik untuk belajar adab ialah Al Quran. Banyak antara kita yang rujuk Al Quran untuk dapatkan hukum fiqh, tetapi jarang kita rujuk untuk belajar adab.
Padahal kebanyakan ayat dalam Al Quran sebenarnya mengajar kita adab. Sebab itu apabila Aisyah r.a. ditanya bagaimanakah akhlak Rasulullah, dijawab akhlak Rasulullah s.a.w ialah Al Quran.
Kesemua kisah kisah dalam Al Quran ialah “case study” untuk mengajar manusia bagaimana untuk berakhlak dalam sesuatu situasi. Bagaimana berakhlak dengan Allah, bagaimana berakhlak dengan Rasul, bagaimana berakhlak dengan manusia, bagaimana berakhlak dengan binatang dan sebagainya.
Bila anak hilang, baca kisah Yaaqub. Bila anak derhaka, baca kisah Nuh. Bila anak tiada, baca kisah Zakaria. Bila orang ejek kita pasal anak kita , baca surah al-kawthar. Bila Allah uji kita dengan fitnah anak, baca kisah Nabi Ibrahim.
Bila saudara mahu membunuh kita, baca kisah Habil dan Qabil. Bila saudara mengkhianati kita, baca kisah Yusuf. Bila saudara kita tidak berterima kasih kepada kita, baca kisah Musa.
Bila jumpa pemimpin zalim baca kisah Firaun. Bila jumpa pemimpin adil, baca kisah Sulaiman. Bila pemimpin adil tersilap, baca kisah Daud.
Begitulah banyak kisah dalam Al Quran yang Allah ajar untuk bentuk sifat dan akhlak kita.
Maka marilah kita sentiasa bertadabur dengan Al Quran untuk dapatkan akhlak muslim sejati.
