Ada yang berkata, kita kena sokong orang Islam walaupun orang Islam itu membuat kezaliman. Dengan alasan itu mereka tidak suka Parti Islam mereka ditegur.
Masalahnya, bukan ini yang Allah ajar dalam Al Quran.
Jika ada satu bangsa yang paling rasis dalam Al Quran, ianya adalah bangsa Firaun. Kejahatan mereka kepada Bani Israil tidak terkata.
Allah s.w.t sering mengulang bahawa mereka
membunuh bayi lelaki Bani Israil setiap selang setahun dan melepaskan bayi perempuan.
Bayangkan impak perbuatan paling keji ini. Sejahat jahat manusia pun, akan mengelak membunuh bayi. Suara hati mereka tidak akan benarkan mereka melakukannya. Bayangkan betapa gelapnya hati bangsa Firaun ini.
Kemudian bayangkan nasib bayi bayi perempuan yang lahir tanpa perlindungan kaum lelaki mereka yang telah dibunuh dan ditinggalkan sedikit. Bayangkan bagaimana mereka dieksplotasi oleh satu kaum yang begitu gelap hatinya.
Sebab itulah ketika satu hari Nabi Musa a.s ternampak seorang lelaki Bani Israil bertengkar dengan lelaki bangsa Firaun, Nabi Musa a.s telah terus berpihak dan menolong lelaki Bani Israil dan menentang lelaki bangsa Firaun.
Walhal Nabi Musa a.s tidak tahu hujung pangkal mereka bertengkar. Malangnya lelaki bangsa Firaun itu terbunuh ditumbuk Nabi Musa a.s dalam pertengkaran itu.
Barulah dia mengetahui yang salah dalam pertengkaran itu ialah lelaki Bani Israil itu. Dia tersalah sangka kerana lelaki itu juga beragama tauhid Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf dan dari bangsa yang dizalimi maka kebenaran berada di pihak lelaki Bani Israil.
Namun jelas Nabi Musa a.s tersilap.
Maka berdoalah Nabi Musa a.s
“Holy Quran 28:17
قَالَ رَبِّ بِمَآ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِّلْمُجْرِمِينَ
Ia merayu lagi: “Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah”.
Pengajarannya, kita Muslim kena adil. Hakim zaman Saidina Ali tetap berpihak kepada si Yahudi walaupun lawannya ialah Saidina Ali sendiri.
Itulah kehebatan ummat ini.
